Belia Dan Sukarelawan | KOLEJ SEPULUH
» ARTIKEL » Belia dan Sukarelawan

Belia dan Sukarelawan

Belia dan Sukarelawan

Semangat kesukarelawanan merupakan antara elemen penting dalam membentuk perpaduan nasional bagi sesebuah negara menghadapi cabaran yang mendatang tamsilnya pandemik Covid-19. Sukarelawan juga boleh menjadi kayu ukur berkenaan dengan sifat kemanusiaan yang ada pada individu. Penghayatan semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia perlulah diberikan penekanan. Hal ini kerana sukarelawan tanpa penghayatan tidak akan memberi faedah kepada pesertanya, lebih-lebih lagi dalam keadaan pandemik sebegini yang sukar untuk kita salurkan penghayatan tersebut. Perkara ini mungkin juga berlaku kerana belia kurang faham tentang apa itu sukarelawan dan faedahnya. Sukarelawan boleh didefinasikan sebagai kerja-kerja amal dan kebajikan yang dijalankan oleh seseorang individu atau secara berkumpulan terhadap golongan yang memerlukan bantuan.

BERIKUT MERUPAKAN FAEDAH KESUKARELAWANAN:

1. Memberi rasa kepuasan kepada belia dalam menjalankan aktiviti kesukarelawanan. 

Umum mengetahui bahawa tujuan utama aktiviti sukarelawan adalah untuk menyebarkan rasa kegembiraan bersama khususnya insan yang memerlukan. Tanpa sebarang diskriminasi, semua individu yang memerlukan berhak dibantu. Oleh yang demikian, individu yang menerima bantuan akan terasa lebih disayangi oleh masyarakat. Dalam masa yang sama, para belia yang memberikan bantuan atau sukarelawan ini dapat melahirkan rasa keseronokan dan kepuasan dalam diri mereka. Sebagai contoh,satu aktiviti kesukarelwanan oleh pelajar Universiti Putra Malaysia, UPM bagi misi bantuan mangsa banjir di Pahang. Hal ini menunjukkan bahawa, situasi “win-win situation” ini yang akan menimbulkan rasa ingin memberi bantuan kepada ramai lagi orang yang memerlukan dalam diri para pelajar.

2. Melahirkan rasa keikhlasan dalam diri belia.

Sekiranya belia dan sukarela memberi bantuan kepada masyarakat, mereka bukan sahaja memudahkan kehidupan golongan yang dibantu malahan memupuk diri mereka sendiri ke arah yang lebih baik. Hal ini kerana, rasa ikhlas dalam diri belia untuk membantu masyarakat tanpa mengharapkan ganjaran dapat dilahirkan melalui aktiviti sebegini. Misalnya, baru-baru ini Malaysia telah digemparkan dengan usaha seorang pendakwah terkenal tanah air, Ustaz Ebit Lew yang telah menjayakan ratusan bantuan dari segi makanan, minuman, tempat tinggal mahupun pengangkutan tanpa mengira usia, bangsa dan agama. Oleh itu, mata dan hati golongan belia akan dibuka untuk memperbanyakkan usaha dalam membantu masyarakat yang memerlukan. Justeru, golongan belia akan rasa berbesar hati untuk memberi bantuan kerana setiap bantuan yang diberikan menunjukkan keikhlasan hati mereka.

3. Menambah ramai kenalan. 

Melalui aktiviti kesukarelawanan, secara tidak langsung golongan belia akan mendapat peluang untuk menambah kenalan diantara mereka.Oleh yang demikian, ahli sukarelawan ini akan rasa bersemangat dan bekobar-kobar sewaktu menjalankan aktiviti kesukarelawanan kerana mereka bersama dengan kawan-kawan mereka yang berkongsi minat yang sama dalam memberi bantuan kepada orang lain. Hal ini tercetus sewaktu menjalankan aktiviti kesukarelawanan belia juga dapat meningkatkan jaringan masyarakat “Networking” dimana mereka boleh bertukar pendapat dan pengalaman bersama anggota sukarelawan. Justeru, melalui aktiviti kesukarelawanan ini, belia bukan sahaja dapat memberi bantuan kepada golongan yang memerlukan malahan dapat menambah lebih ramai kenalan yang mempunyai minat dan matlamat yang sama.

Secara keseluruhannya, aktiviti kesukarelawanan ini dapat memberi banyak faedah bukan sahaja kepada belia malah kepada semua yang terlibat tanpa mengira siapakah yang memberi dan yang menerima. Dengan ini diharap agar semangat kesukarelawanan akan terus kekal dan semakin utuh.

Tarikh Input: 15/03/2021 | Kemaskini: 15/03/2021 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEdXAQ~