Cara-Cara Menangani Tekanan Dan Stres Dalam Kehidupan Seharian | KOLEJ SEPULUH
» ARTIKEL » Cara-Cara Menangani Tekanan dan Stres dalam Kehidupan Seharian

Cara-Cara Menangani Tekanan dan Stres dalam Kehidupan Seharian

Cara-Cara Menangani Tekanan dan Stres dalam Kehidupan Seharian

Disediakan oleh : Sekretariat Kebudayaan & Kesenian (SETA), Kolej Sepuluh, Sesi 2020/2021, UPM

Disediakan pada : 7 Jun 2021

Sejak kebelakangan ini, isu depresi dan kemurungan menjadi polemik yang dibincangkan dalam masyarakat konvensional. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ketidak tentuan ekonomi negara dan situasi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) telah menyebabkan kebanyakan masyarakat untuk menghadapi tekanan dalam kehidupan terutamanya golongan remaja dan belia. Masalah depresi atau kemurungan berpunca daripada tekanan atau stres yang berpanjangan, keterlaluan dan tiada kemampuan daya bertindak seseorang individu terhadap masalah tersebut. Ia merupakan tindak balas fizikal, emosi dan juga mental yang dialami oleh seseorang apabila terdapat desakan terhadap sesuatu perkara. Sesiapa sahaja yang mengamalkan berbagai cara gaya hidup sama ada kanak-kanak, remaja, dewasa serta warga emas boleh mengalami stres atau tekanan. Sebagai permulaan, berikut merupakan 3 cara mudah yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi tekanan atau stres sebagai panduan kepada masyarakat hari ini.

Prakarsa utama dalam membendung tekanan dan stres adalah dengan mempelajari kawalan emosi kendiri. Terdapat tekanan yang berbentuk sedikit, sederhana dan berlebihan di mana dalam jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani oleh individu tersebut. Oleh hal yang demikian, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkenalkan penyelesaian jangka pendek sebagai kawalan emosi kendiri yang dikenali sebagai keadah “10B”. Sekiranya anda menghadapi tekanan, anda dikehendaki untuk mengikut kaedah ini secara berturutan iaitu bertenang, bernafas secara dalam, berkata relaks kepada diri, beribadat, bercakap dengan seseorang, berurut, berehat dan mendengar muzik, beriadah, bersenam dan akhirnya berfikiran positif. Tekanan darah tinggi yang menjadi punca kepada stres dapat ditangani dengan melakukan kaedah ini. Memang tidak dapat dinafikan bahawa punca tekanan lazimnya bukan daripada diri kita manakala pelbagai perkara boleh menjadi punca. Walau bagaimanapun, dengan kaedah yang diutarakan, kita dapat mencegah perkara yang lebih negatif daripada berlaku.

Selain itu, alternatif lain yang dapat dilakukan oleh individu bagi mengelakkan tekanan dan stres adalah dengan melakukan aktiviti riadah seperti bersenam dan bersukan. Umum mengetahui bahawa aktiviti riadah mendatangkan pelbagai manfaat sekiranya kita aktif dalam menyertai dan melakukannya. Contohnya, apabila seseorang bermain sukan badminton bersama rakan-rakan, secara zahirnya mereka dapat melepaskan tekanan yang mereka alami. Tambahan pula, permainan sukan mewujudkan semangat kerjasama di mana satu bentuk kepuasan akan diperoleh sekiranya pasukan individu tersebut memenangi permainan yang disertai. Kemudahan pusat riadah seperti taman permainan yang telah lengkap dengan trek untuk berjoging atau berbasikal boleh digunakan untuk mencergaskan tubuh badan. Kesimpulannya, badan yang cergas akan membentuk minda sihat.

 

Di samping itu, tekanan atau stres boleh diatasi dengan berkongsi masalah yang telah dihadapi kepada individu yang dipercayai. Tindakan ini bukan sahaja dapat mengurangkan tekanan malah mengeratkan hubungan silaturahim antara individu sama ada ahli keluarga, rakan atau saudara. Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah pun membangunkan “Talian Kasih 15999” yang beroperasi selama 24jam pada setiap hari. Talian aduan krisis ini memberikan peluang kepada sesiapa sahaja yang mempunyai masalah berkaitan kaunseling, kebajikan, perlindungan dan masalah keluarga untuk berhubung dengan pegawai yang bertugas dan mereka akan membantu mengsa atau individu yang tiada kenalan untuk berkongsi masalah serta untuk menghilangkan stres.

 

Konklusinya, terdapat pelbagai cara menghilangkan stres yang boleh dilakukan bagi mengatasi tekanan. Ia adalah perasaan semula jadi yang sedia ada pada setiap individu dan banyak faktor yang mendorong kepada desakannya terhadap seseorang individu. Dengan memperkenalkan mekanisme kawalan terhadap tekanan, kita boleh menjadikannnya sebagai sumber motivasi seseorang untuk mencapai kejayaan. Semoga semua modus operandi dan inisiatif menghilangkan tekanan atau stres dapat memangkin sifat mahmudah dalam diri setiap individu dan melahirkan masyarakat yang hidup sejahtera, aman dan harmoni.

 

Tarikh Input: 10/06/2021 | Kemaskini: 10/06/2021 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEdRAv~