Impak Sukarelawan Terhadap Kesihatan Mental Dan Fizikal | KOLEJ SEPULUH
» ARTIKEL » Impak Sukarelawan Terhadap Kesihatan Mental dan Fizikal

Impak Sukarelawan Terhadap Kesihatan Mental dan Fizikal

Impak Sukarelawan Terhadap Kesihatan Mental dan Fizikal

Disediakan oleh : Sekretariat Sukarelawan Kolej Sepuluh

Disediakan pada : 4 Jun 2021

Ramai diantara kita yang berasa tertekan dan sunyi akibat daripada wabak Coronavirus yang telah menyebabkan berlakunya jarak atau jurang sosial. Hampir semua rakyat Malaysia, tidak terkecuali orang tua, ibu bapa yang cuba untuk menyeimbangkan masa antara pekerjaan dan anak, serta mereka yang kehilangan pekerjaan semasa pandemik ini pasti akan merasa tekanan tersebut walaupun dengan cara yang berbeza. Berdasarkan penyelidikan baru, sukarelawan bukan sekadar memberi manfaat kepada mereka yang menerima, malah ianya lebih daripada itu. Aktiviti kesukarelawanan ini dapat meningkatkan kesihatan mental dan juga fizikal tanpa mengira usia, bangsa atau keadaan hidup anda.

ANTARA FAEDAH KESUKARELAWANAN KEPADA KESIHATAN MENTAL DAN FIZIKAL:

1. Mengatasi tekanan, kemarahan dan masalah kegelisahan atau anxiety.

Aspek amalan menolong dalam hubungan sosial dan bekerjasama dalam satu kumpulan boleh memberi kesan yang besar terhadap kesejahteraan psikologi individu secara keseluruhan. Satu kajian menunjukkan bahawa antara cara terbaik untuk menghilangkan tekanan adalah dengan menjaga atau mewujudkan satu hubungan yang bermakna dengan orang lain. Disamping itu, kerja yang melibatkan haiwan peliharaan mahupun bukan, juga dapat mengurangkan tekanan dan anxiety.

2. Kemurungan dapat diperangi dengan aktiviti kesukarelawanan

Bagaimana aktiviti kesukarelawanan dapat mencegah masalah kemurungan? Apabila anda menyertai aktiviti sukarelawan, anda akan sentiasa berhubung dengan orang awam dan perkara ini dapat membantu anda mengembangkan sistem sokongan yang lebih kukuh secara tidak langsung dapat melindungi anda daripada kemurungan. Orang yang lebih berusia, terutama mereka yang telah bersara atau kehilangan pasangan lebih cenderung untuk berasa sedih dan murung, dengan membantu orang lain mereka akan lebih mudah untuk mencari makna dan hala tuju dalam kehidupan mereka.

3. Aktiviti sukarelawan dapat membantu anda kekal sihat secara fizikal.

Kajian dapati bahawa individu yang menyertai atau menjadi sukarelawan mempunyai kadar kematian yang lebih rendah berbanding mereka yang tidak melibatkan diri dengan kesukarelawanan. Golongan tua atau warga emas yang mengambil bahagian dalam sukarelawan juga mengakui yang mereka merasa lebih mudah untuk mengendali aktiviti harian. Seterusnya, mereka juga mempunyai kemahiran berfikir yang lebih baik dan kurang berpotensi untuk mengalami masalah tekanan darah tinggi. Individu yang menyertai sukarelawan juga dapat mengurangkan gejala penyakit kronik dan mengurangkan risiko serangan jantung.

Diharapkan dengan fakta yang diberikan, mampu untuk menambah sedikit semangat dalam hidup anda. Akhir kalam, apa jua usia atau keadaan hidup anda, aktiviti kesukarelawanan dapat membantu untuk melegakan serta menghilangkan kerisauan dari minda dan fikiran anda.

Tarikh Input: 30/06/2021 | Kemaskini: 30/06/2021 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEdQA0~