Jangkitan Coronavirus Dan Langkah Pencegahan | KOLEJ SEPULUH
» ARTIKEL » Jangkitan Coronavirus Dan Langkah Pencegahan

Jangkitan Coronavirus Dan Langkah Pencegahan

Pada 12 Januari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengeluarkan pernyataan berkenaan ancaman penularan wabak coronavirus yang baharu di daerah Wuhan, China. Sehingga hari ini seramai 570 orang telah dijangkiti dan 17 orang meninggal disebabkan jangkitan coronavirus yang diberi nama 2019-nCOV.

Negara-negara di seluruh dunia telah mula meningkatkan tahap kesiapsiagaan menghadapi ancaman wabak dengan membuat saringan kesihatan di pintu-pintu masuk negara seperti lapangan terbang, pelabuhan dan sempadan. Klinik-klinik dan hospital-hospital juga digerakkan untuk melaporkan kes-kes yang mempunyai gejala seperti demam, lesu, sakit tekak, batuk kering dan mempunyai sejarah perjalanan pergi dan pulang dari China. Ini bagi memastikan sebarang jangkitan awal dapat dikesan melalui ujian diagnostik, pengesanan kes dan tindakan kuarantin dapat dilakukan.

Jangkitan coronaavirus adalah disebabkan oleh sejenis virus yang biasanya ada pada haiwan seperti anjing, babi, kucing, kelawar, burung dan unta. Virus ini boleh menjangkiti sesama haiwan ini, namun atas sebab tertentu ia boleh berjangkit kepada manusia melalui cecair badan seperti cecair mukosa, air liur, air kencing dan najis. Pekerja-pekerja veterinar dan penternak akan lebih mudah dijangkiti kerana banyak terlibat dengan haiwan-haiwan sebegini. Pada satu masa, virus ini bermutasi dan menjadikan tubuh manusia sebagai perumah untuk membiak dan seterusnya menyebarkan virus kepada manusia yang lain.

Wabak jangkitan koronavirus bukanlah perkara baharu kerana dua jenis jangkitan koronavirus yang pernah berlaku sebelum ini adalah sindrom pernafasan akut teruk (SARS) pada tahun 2002 hingga 2003 dan sindrom pernafasan timur tengah (MERS-CoV) pada tahun 2012 hingga kini. SARS telah menyebabkan 8096 kes jangkitan dan 774 kes kematian manakala MERS-CoV menyebabkan 2494 kes jangkitan dan 858 kes kematian sehingga hari ini. Melihat kepada jumlah kes berkaitan penyakit berjangkit atau ‘communicable disease’ (CD) pastinya tindakan yang lebih berkesan diperlukan untuk mencegah penularan wabak ini di dalam dan luar negara.

Maka bermula dari kes SARS, WHO pada tahun 2005 menggazetkan undang-undang antarabangsa iaitu International Health Regulations (IHR) untuk melindungi nyawa manusia dan hidupan daripada ancaman penyakit yang boleh merebak secara meluas melalui laluan dan pintu-pintu antarabangsa. Melalui IHR ini WHO akan mengeluarkan amaran terkini berkenaan wabak-wabak antarabangsa dan garis panduan untuk mencegah, melindungi, mengawal dan menyediakan respon kesihatan awam terhadap risiko dan ancaman tersebut.

Di bawah IHR, WHO juga akan mewartakan amaran Kesihatan Awam atau Public Health Emergency of International Concern (PHIEC) untuk kes yang boleh menyebabkan risiko kesihatan awam disebabkan penularan wabak antarabangsa ini. Sejak 2007, WHO telah mewartakan amaran bagi lima kes penyakit berjangkit antaranya pandemik H1H1 influenza (2009), kegagalan penghapusan Polio antarabangsa (2014), epidemik Ebola di Afrika Barat (2014), wabak virus Zika (2016) dan wabak Kivu Ebola (2018). Semua negara mesti mematuhi arahan IHR ini dan melakukan tindakan yang sewajarnya di peringkat negara masing-masing bagi mencegah penularan penyakit berjangkit dan melindungi rakyat daripada bahaya penyakit dan komplikasinya.

Melihat kepada situasi terkini seperti isu influenza dan terbaru isu coronavirus, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melakukan yang terbaik dengan meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi wabak dengan meningkatkan saringan kesihatan seperti Influenza Like Illness (ILI) di pintu-pintu masuk antarabangsa seperti lapangan terbang dan pelabuhan selain pengesanan penyakit berjangkit dan Severe Acute Respiratory Infections (SARI) di klinik-klinik dan hospital-hospital kerajaan dan swasta. Selain itu, pendidikan kesihatan dan kempen kesedaran untuk rakyat menjaga kebersihan dan mengamalkan etika batuk dan bersin yang betul adalah antara pencegahan yang berkesan.

Namun begitu, negara akan sentiasa terdedah kepada ancaman penyakit berjangkit antarabangsa selagi kita membuka pintu masuk negara kepada pelancong dan pekerja asing. Dicadangkan tindakan sinergi antara Kementerian Luar Negara, Dalam Negeri dan Tenaga Manusia diperlukan untuk memperketatkan saringan warga asing yang masuk ke negara kita. Pemberian visa percuma diharapkan dapat dinilai semula untuk melindungi kebanjiran warga asing khususnya dari China, India dan negara-negara yang berpotensi membawa penyakit berjangkit masuk ke negara kita. Bukankah mencegah lebih baik daripada merawat? Maka sama-samalah kita mencegah sebelum parah.

Dr Mohd Ihsanuddin Abas
Unit Kesihatan Awam, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Islam
dan Pensyarah Perubatan Pelatih UniSZA

Sumber: ismaweb.net (23 Januari 2020)

Tarikh Input: 31/01/2020 | Kemaskini: 31/01/2020 | miorazham

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEdTAI~