Kolej-Kolej Kediaman Universiti Putra Malaysia Serta Sejarah Ringkasnya | KOLEJ SEPULUH
» ARTIKEL » Kolej-Kolej Kediaman Universiti Putra Malaysia serta Sejarah Ringkasnya

Kolej-Kolej Kediaman Universiti Putra Malaysia serta Sejarah Ringkasnya

 

Kampus UPM Serdang

Di kampus utama UPM Serdang, UPM menyediakan sebanyak 9 buah kolej kediaman untuk penginapan lebih daripada 3000 orang pelajar. Setiap satu kolej kediaman menawarkan pelbagai kemudahan yang lengkap dan moden demi menepati keperluan pelajar.

Sebahagian besar kolej kediaman mempunyai akses internet, pembersihan harian, kemudahan untuk sistem kumbahan serta pelbagai lagi kemudahan lain yang memberikan kesenangan kepada para pelajar. Universiti juga sangat prihatin terhadap para pelajar istimewa. Terdapat sejumlah ruang khusus yang diubahsuai dan dilengkapi dengan kemudahan yang bersesuaian dengan keperluan para pelajar istimewa agar kehidupan mereka di kampus terjamin.

Universiti juga sangat komited dalam menjamin keselamatan dan keamanan warga UPM. Justeru, persekitaran kampus dilindungi sepenuhnya oleh pegawai-pegawai keselamatan yang berdedikasi dalam menjalankan tugas. Kawasan parkir juga dilindungi sepenuhnya untuk memastikan kenderaan para pelajar dan kakitangan UPM selamat.

 

Senarai Nama Kolej dan Sejarahnya

Kolej Tun Dr. Ismail

Kolej Tun Dr. Ismail (KTDI) merupakan antara kolej yang terawal dibina dikampus UPM Serdang. KTDI yang dahulunya terkenal dengan jolokan "Third" yang bermaksud 'ketiga' merupakan kolej ketiga dibangunkan selepas Kolej Mohamad Rashid dan Kolej Kedua. Proses pembinaannya bermula daripada Februari 1973 dan siap sepenuhnya pada Julai 1975.

Nama baru kolej ini diambil sempena nama tokoh terhormat Negara iaitu Tun Dr. Ismail, Timbalan Perdana Menteri Malaysia kedua, sebagai penghormatan terhadap jasa dan ketokohannya sebagai salah seorang pemimpin Negara yang berwibawa. Nama Kolej Tun Dr. Ismail telah digunakan secara rasminya pada 1 Januari 1995.

 

Kolej Canselor

Ditubuhkan pada tahun 1973, dahulunya dikenali sebagai Kolej Kediaman Ke-empat dan Kolej Jelapang (mulai 1975) kerana blok-blok asrama pelajar dinamakan dengan nama jenis padi iaitu Murni, Masria, Malinja dan Mahsuri. Selain itu lambang Kolej Kediaman Keempat sendiri adalah berteraskan kepada tangkai padi yang merupakan salah satu entiti penting dalam pertanian negara.

Pada majlis sambutan Dua Dekad Penubuhan Kolej, bertarikh 20 September 1995, nama Kolej Kediaman Keempat ditukarkan kepada Kolej Canselor dan dirasmikan sendiri oleh Canselor Universiti Putra Malaysia (dahulunya dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia), TYT Tun Dato' Seri Dr. Haji Hamdan Sheikh Tahir.

Universiti Putra Malaysia telah menstrukturkan semula organisasi Kolej Kediaman Universiti dan telah menggabungkan Kolej Canselor dan Kolej Keenam  di bawah satu pentadbiran dan menggunapakai nama Kolej Canselor bermula pada 15 Jun 2019.

 

Kolej Sultan Alaeddin Suleiman Shah

KOSASS merupakan kolej kediaman yang menempatkan anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES). Walau bagaimanapun, terdapat juga pelajar-pelajar awam yang turut ditempatkan di KOSASS.

Pentadbiran KOSASS diketuai oleh Lt. Kdr. Prof Madya Gs Dr Hasmadi bin Ismail PSSTLDM sebagai pengetua, dibantu oleh pengurus kolej, Pn. Hjh. Kalthom Binti Abu Bakar, berserta dengan 6 orang staf sokongan.

 

Kolej Pendeta Zaba

Pada tahun 1986, Kolej Pendeta Za'ba dikenali sebagai Kolej Kediaman Kesembilan atau Kolej Bongsu. Dengan berkonsepkan nama lima buah blok kediaman iaitu Arif, Cendekia­wan, Pintar, Bijaksana dan Bestari, Tn. Haji Ali telah mengambil insiatif untuk menukar nama Kolej Kesembilan kepada Kolej Pendeta Za'ba.

Bergerak kepada sejarah penubuhan Kolej Tun Perak pula, dahulu ia dikenali dengan nama Kolej Kediaman Kelapan. Kesemua blok-blok di KTP telah dinamakan bersempena dengan nama pahlawan-pahlawan yang sohor dalam sejarah Melayu ketika dahulu. Antara nama pahlawan yang diguna pakai ialah Jebat, Lekiu, Lekir, Tuah dan juga Kasturi. KTP adalah kolej pertama yang memecah tradisi penamaan kolej kediaman di UPM dengan meletakkan nilai kemanusiaan di tempat yang tepat.

Pada tahun 2019, Kolej Pendeta Za’ba telah digabungkan dengan Kolej Tun Perak bermula pada Jun 2019 dan penstrukturan semula pengetua dan pentadbiran kolej telah dibuat.

 

Kolej Sepuluh

Mula bertapak pada tanggal 1 April 1999, Kolej Sepuluh mula mengorak langkah ke hadapan sebagai sebuah kolej yang baru membangun di Universiti Putra Malaysia. Di bawah peneraju utama iaitu Dr. Marry Huang sebagai pengetua pertama, pelbagai inisiatif telah diambil bagi memastikan Kolej Sepuluh terus maju ke hadapan dari segi akademik mahupun ko-kurikulum setanding dengan kolej-kolej lain yang sedia ada.

Kolej Sepuluh juga memulakan perkhidmatannya dengan menempatkan mahasiswa dan mahasiswi tetapi keadaannya bertukar pada tahun 2002 dengan hanya membenarkan mahasiswa menetap di kolej ini. Kolej ini juga menempatkan mahasiswa yang majoritinya daripada Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Reka Bentuk & Senibina.

Pada tahun 2019, Kolej 10 telah bergabung dengan Kolej 11, iaitu kolej yang menempatkan mahasiswi dari Fakulti Kejuruteraan dan FRSB dan mengekalkan nama Kolej 10 sebagai nama gabungan baharu.

 

Kolej Tan Sri Aishah Ghani

Detik bersejarah yang mencatatkan tarikh keramat bermula pada 22 Julai 1997 apabila tertubuhnya sebuah kolej kediaman baharu, iaitu Kolej Matrikulasi Universiti Putra Malaysia (UPM) atau lebih dikenali sebagai KOMAT. Mulai sesi Mei 2000/2001, kolej ini telah dibuka kepada pelajar-pelajar daripada pelbagai program diplomayang kemudiannya telah bertukar nama kepada Kolej Tiga Belas dan nama Kolej Matrikulasi (KOMAT) hanya tinggal dalam kenangan.

Semenjak Julai 2019, Kolej Tiga Belas telah bergabung dengan Kolej Mohammad Rashid (KMR) sebagai sebahagian daripada program Transformasi Governans UPM. Perubahan ini memberi satu perkembangan baharu kepada imej dan identiti Kolej Tiga Belas.

Tampuk kepimpinan turut mengalami perubahan bermula dari tahun 2001 oleh Prof. Dr. Ahmad Ismail, Prof. Dr. Mohammed Zakaria Hussin, Y.M Dr. Tengku Azam Shah Tengku Mohammad, Prof. Madya Dr. Arifin Abdu. Pada 8 Jun 2022, Lembaga Pengarah Universiti Putra Malaysia bersetuju untuk menamakan Kolej Tiga Belas sebagai Kolej Tan Sri Aishah Ghani dan sehingga kini Kolej Tan Sri Aishah Ghani ditadbir oleh Prof. Madya Ir. Dr. Ahmad Shukri Muhammad Noor dengan penuh dedikasi dan prihatin terhadap semua warga Kolej ini.

 

Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee

Kolej Tujuh Belas mula dibangunkan pada 10 Julai 2003 seiring dengan pembinaan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dengan anggaran kos RM 202 juta dan telah siap dibina sepenuhnya pada 10 Januari 2006.

Secara umumnya, kolej ini menempatkan pelajar-pelajar dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan serta Fakulti Perubatan Veterinar. Namun demikian, terdapat juga segelintir pelajar daripada fakulti-fakulti lain dalam kampus Universiti Putra Malaysia yang menetap di sini. Keseluruhannya, terdapat 4 blok bangunan kediaman pelajar iaitu blok A, blok B dan C bagi pelajar wanita serta blok D bagi pelajar lelaki.

Pada tanggal 26 Jun 2022, penamaan semula Kolej Tujuh Belas kepada Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee bersempena nama Allahyarham Tan Sri Ahmad Mustaffa Babjee. Pertukaran nama tersebut merupakan satu inisiatif yang diambil oleh pengurusan UPM dalam usaha penjenamaan semula nama-nama kolej kediaman berinspirasikan nama tokoh terkemuka yang berkaitan dengan bidang pengajian pelajar.

 

Kolej Dua Belas

Kolej Dua Belas merupakan satu daripada 17 buah kolej kediaman di Universiti Putra Malaysia. Walaupun begitu, Kolej Dua Belas merupakan sebahagian daripada Kolej Serumpun kerana kedudukannya yang unik di antara tiga buah kolej yang lain iaitu; Kolej Empat Belas, Kolej Lima Belas dan Kolej Enam Belas.

Kolej Dua Belas, Universiti Putra Malaysia dibuka pada Mei 2000, bersama dengan pembukaan Kolej Empat Belas. Pada mulanya, kolej kediaman ini dibuka untuk pelajar wanita sahaja. Kemudian, penempatan dibuka kepada pelajar lelaki. Penempatan dan penyelenggaraan fasiliti bagi Kolej Serumpun di bawah tanggungjawab PJS Development Sdn. Bhd. sepenuhnya.

Pada 1 Februari 2018, Kolej Dua Belas telah digabungkan dengan Kolej Lima Belas dan penetapan nama kolej adalah Kolej Dua Belas. Pada 1 September 2019 bagi Sesi 2019/2020, Kolej Dua Belas telah mengambil alih penempatan sepenuhnya dari pihak PJS Development Sdn. Bhd.

 

Kampus UPM Bintulu

Kolej Sri Rajang

Kolej Sri Rajang dimashyurkan pada tahun 2002 mengambil nama Sungai Rajang iaitu sungai yang terpanjang di Malaysia. Mula beroperasi pada 5 November 2001 untuk menempatkan 154 pelajar pengambilan pertama sempena pembukaan semula Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Sarawak. Pentadbiran kolej ditunjangi oleh seorang Pengetua dan dibantu oleh pengurusan Kolej, barisan felo dan Majlis Perwakilan Kolej (MPK).

Kolej ini mempunyai 10 blok, 5 blok untuk penghuni lelaki dan 5 blok untuk penghuni perempuan. Setiap blok mempunyai 4 aras, setiap aras mempunyai 18 hingga 22 bilik, setiap bilik ditempatkan 2 hingga 4 orang penghuni.

Kolej Sri Rajang menyediakan pelbagai kemudahan, bagi memastikan penghuninya menikmati persekitaran yang selesa, selamat dan kondusif sekaligus meningkatkan penjanaan minda dan mengasah kreativiti pelajar dalam usaha melahirkan mahasiswa yang berkualiti dan berketrampilan. Setiap blok telah dilengkapi dengan bilik rehat, televisyen, sofa, seterika, bilik pantri dan water dispencer untuk kegunaan harian dan aktiviti.

 

Disusun dan disunting oleh: Ruzaimi, Kolej 10 (2023)

Tarikh Input: 22/02/2023 | Kemaskini: 23/02/2023 | ruzaimi

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEeAAn~