Langkah-langkah Mencegah Keracunan Makanan | KOLEJ SEPULUH
» ARTIKEL » Langkah-langkah mencegah keracunan makanan

Langkah-langkah mencegah keracunan makanan

Kes keracunan makanan bukan isu baharu yang berlaku dalam masyarakat. Berita-berita yang dihebohkan di media massa seperti akhbar, radio dan televisyen membuktikan bahawa kes keracunan makanan berlaku pada semua peringkat umur termasuk murid-murid sekolah. Sudah pasti, masyarakat perlu cakna bagi memastikan statistik keracunan makanan dapat dikekang dan dikurangkan bagi memastikan masyarakat dapat menjalani sebuah kehidupan yang sihat sejahtera. Justeru, masyarakat perlu mendapatkan ilmu pengetahuan mengenai cara-cara mencegah keracunan makanan. Antara cara mengatasi masalah keracunan makanan ialah penggunaan makanan yang segar. Dalam erti kata lain, makanan tersebut tidak mengalami proses pengawetan, iaitu tidak dimasak dan diproses seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan daging. Kandungan air yang tinggi dalam makanan ini memudahkan pembiakan mikroorganisma. Masyarakat hendaklah tahu cara-cara pemilihan makanan segar. Sayur hendaklah segar, rangup dan tidak ada tanda lebam. Begitu juga dengan buah-buahan. Daging dan ikan pula berbau segar, isi kemerah-merahan dan tidak ada bahagian tertanggal. Selain itu, masyarakat hendaklah mementingkan aspek kebersihan ruang memasak di rumah dan di restoran. Ruang memasak hendaklah sentiasa kemas dan bersih. Hal ini demikian supaya dapat memastikan tikus, lipas dan lalat tidak membiak. Peralatan memasak seperti periuk, kuali, dan sudu dan lain-lain juga hendaklah dititikberatkan pengendaliannya. Pastikan peralatan ini dicuci dengan bersih. Sikap peka masyarakat dalam hal ini menjadi tunjang kebersihan makanan. Di samping itu, makanan hendaklah disimpan dalam keadaan bersih supaya bakteria tidak boleh membiak. Contohnya, ikan dan daging hendaklah disimpan di bahagian sejuk beku di dalam peti sejuk. Sayur-sayuran pula hendaklah disimpan di dalam tempat sayur di dalam peti sejuk. Sayuran ubi hendaklah diletakkan jauh daripada makanan yang berbau kuat, di tempat yang sejuk, gelap dan kering. Sikap masyarakat yang peka dalam penyimpanan makanan dapat memastikan makanan berada dalam keadaan baik. Konklusinya, keracunan makanan boleh dielakkan sekiranya isi rumah dan pengendali makanan yang terlibat dalam perniagaan mematuhi etika penyediaan makanan. Malahan, kepatuhan isi rumah dan pengendali makanan terhadap saranan kerajaan dapat memastikan kes ini berjaya diatasi. Hal ini demikian kerana keracunan makanan boleh membawa maut. Justeru, isi rumah atau pengendali makanan perlulah sedar akan hakikat tersebut dam berusaha menyediakan makanan yang selamat untuk dinikmati

Tarikh Input: 16/03/2023 | Kemaskini: 16/03/2023 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEdTAS~