PENGGUNAAN PLASTIK MEMUDARATKAN ALAM SEKITAR | KOLEJ SEPULUH
» ARTIKEL » PENGGUNAAN PLASTIK MEMUDARATKAN ALAM SEKITAR

PENGGUNAAN PLASTIK MEMUDARATKAN ALAM SEKITAR

Disediakan oleh: Nur Adleena Ezzaty binti Md Noor - Exco Keusahawanan Sekretariat Alam Sekitar, Kolej Sepuluh, Sesi 2020/2021, UPM

Disediakan pada: 9 Mei 2021

Penggunaan plastik yang berleluasa di Malaysia telah menimbulkan kebimbangan pelbagai pihak. Hal ini kerana, kita sedia maklum tentang kesan daripada penggunaan plastik yang berleluasa di Malaysia boleh memudaratkan alam sekitar. Seperti yang kita ketahui, Malaysia telah menjadi negara peyumbang kedua tertinggi pencemaran plastik di Asia. Kita acapkali menggunakan plastik ketika membeli-belah barangan dapur dan juga di restoran atau kedai makan dengan menggunakan straw dan juga pembungkus plastik. Lebih menyesalkan lagi, plastik-plastik ini kemudiannya di buang di saluran yang salah sehingga menyebabkan alam sekitar kita tercemar serta mengganggu habitat di darat mahupun di lautan.

Menurut statistik yang dikeluarkan oleh kajian Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, penggunaan plastik di negara ini yang ke-2 terbesar di rantau Asia dengan purata setiap individu menggunakan 16.78kg plastik setahun. Terdapat juga statistik yang dikeluarkan pada 2015 di mana sektor yang paling banyak menyumbang kepada penggunaan plastik di Malaysia ialah sektor pembungkusan dan juga sektor bangunan dan pembinaan. Banyak aktivis-aktivis dan juga pegawai bukan kerajaan yang menasihatkan agar kedua-dua sektor ini mengurangkan penggunaan plastik kerana hal ini akan mengakibatkan negara kita tercemar.

Antara keburukan penggunaan plastik yang berleluasa terhadap alam sekitar adalah ia dapat mengancam hidupan di lautan dan juga darat. Terdahulu, kita pasti pernah mendengar berita mengenai kura-kura dan penyu laut yang dijumpai mati akibat menyalahanggap plastik sebagai makanan mereka. Hal ini telah menimbulkan kesedihan di kalangan pencinta hidupan akuatik dan pencinta alam sekitar. Terdapat juga hidupan laut yang mati akibat terjerat pada plastik yang dibuang di lautan seperti tali, straw dan juga plastik makanan. Hal ini telah mengakibatkan populasi penyu laut dan juga kura-kura di Malaysia semakin berkurangan. Langkah awal wajar diambil agar generasi akan datang masih boleh melihat dan mengenali hidupan laut yang semakin berkurangan dan diancam kepupusan ini.

Antara langkah yang boleh diambil untuk mengatasi pemasalahan ini adalah dengan menggunakan beg kertas atau beg kain ketika membeli-belah di pasaraya mahupun kedai runcit. Selain itu, rakyat Malaysia juga boleh menggunakan konsep 3R iaitu Reuse, Reduce, Recycle yang telah lama diperkenalkan di Malaysia namun masih kurang mendapat sambutan dalam kalangan rakyat. Selain itu, antara langkah yang tular di Malaysia baru-baru ini ialah penggunaan straw besi dan pengurangan penggunaan straw plastik. Langkah ini telah mendapat tempat di pelbagai premis perniagaan makanan di mana kebanyakannya tidak lagi menyediakan straw plastik dan juga sudu plastik. Hal ini sedikit sebanyak dapat membendung penggunaan plastik di negara kita dan wajar diteruskan di masa yang akan datang.

 

Kesimpulannya, peggunaan plastik di Malaysia seharusnya mendapat perhatian banyak pihak oleh kerana kesannya yang membahayakan alam sekitar. Bagi mengatasi masalah ini, semua pihak haruslah bertanggungjawab dan menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan mengikuti langkah-langkah mengurangkan penggunaan plastik seperti yang disyorkan oleh kerajaan. Kita sedia maklum untuk menghentikan penggunaan plastik secara serta merta adalah amat sukar. Namun begitu, langkah kecil yang kita amalkan ini juga sedikit sebanyak dapat membantu memelihara dan memulihara alam sekitar.

 

 

Tarikh Input: 11/05/2021 | Kemaskini: 11/05/2021 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEdWAF~