Ramadan Bulan Mulia | KOLEJ SEPULUH
» ARTIKEL » Ramadan Bulan Mulia

Ramadan Bulan Mulia

Ramadan merupakan bulan diwajibkan ibadah puasa ke atas seluruh umat Islam. Di samping itu, ia juga menjadi bulan yang paling dinantikan oleh sekalian orang beriman, lantaran pelbagai keistimewaan yang ditawarkan oleh Allah SWT sepanjang bulan yang mulia dan penuh keberkatan ini.

Perkataan Ramadan berasal daripada kata dasar ‘ra-mim-dal’, yang bererti panas atau panas yang menyengat. Perkataan ini berkembang sehingga ertinya membawa maksud menjadi panas atau sangat panas, atau diertikan juga sebagai hampir membakar. Oleh itu makna Ramadan boleh diringkaskan sebagai waktu atau keadaan di mana seseorang merasa panas, mulut terasa kering dan haus. Di dalam Islam, bulan Ramadan merupakan bulan ke-9 hijrah. 

Antara keistimewaan-keistimewaan bulan Ramadan ialah bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan Ramadan merupakan satu bulan yang disebut ‘permulaan adalah rahmat, pertengahannya keampunan dan akhirnya dijauhkan daripada api neraka’. Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda apabila bulan Ramadan telah datang maka dibukalah pintu-pintu syurga, ditutuplah pintu-pintu neraka dan diikatlah semua syaitan. 

Selain itu, salah satu daripada keagungan, keistimewaan dan kemuliaan bulan suci Ramadan ialah Lailatul Qadar. Lailatul Qadar adalah satu kurniaan Ilahi yang dianugerahkan oleh Allah Ta'ala kepada Rasulullah SAW dan umatnya sebagai tanda kasih sayang-Nya. Justeru, amal kebajikan yang dilakukan seseorang hamba Allah pada malam tersebut adalah lebih baik daripada amal kebajikan yang dilakukan selama seribu bulan. Lebih-lebih lagi, apabila dibanding dengan umur nabi dan juga umat yang terdahulu, didapati umur baginda SAW dan juga umur umat Nabi Muhammad SAW sangat pendek. Sebagai contohnya, Nabi Nuh AS telah dikurniakan Allah Taala umur selama 950 tahun. Maka, Lailatul Qadar adalah kurniaan yang sangat besar nilainya bagi umat Nabi Muhammad SAW. Ini kerana lamanya waktu seribu bulan apabila dihitung dalam kiraan tahun ialah selama 80 tahun lebih. Tambahan pula angka tersebut jauh lebih banyak berbanding dengan umur umat Nabi Muhammad SAW yang rata-ratanya dalam sekitar lebih kurang 60 tahun sahaja. 

Justeru, amatlah wajar bagi setiap Muslim bermuhasabah tentang segala amalan dan juga setiap detik kehidupan yang dilaluinya dan seterusnya bertaubat kepada Allah Taala biarpun sekecil mana pun kesalahan tersebut. Perlu diinsafi bahawa amalan bertaubat tidak boleh ditunda atau ditangguhkan kepada waktu yang lain kerana ajal maut akan datang menjemput manusia pada bila-bila masa sahaja. Peluang keemasan yang disediakan Allah Taala sepanjang Ramadan wajar direbut agar tidak menyesal di kemudian hari.

Tarikh Input: 07/04/2023 | Kemaskini: 07/04/2023 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEdXAw~