Teknik Pengucapan Awam | KOLEJ SEPULUH
» ARTIKEL » Teknik Pengucapan Awam

Teknik Pengucapan Awam

Setiap orang pasti berpengalaman dalam pengucapan awam, yang berbeza adalah sama ada bijak melakukannya atau tidak. Pengucapan awam bertujuan untuk menyampaikan maklumat, membimbing, mengajar, membantu, menghibur dan sebagainya. Terdapat empat elemen penting yang asas dalam pengucapan awam yang wajib ada dalam diri seseorang. Elemen-elemen ini bakal memberikan impak yang besar kepada pengucap tersebut sama ada ucapan beliau menarik ataupun membosankan, menyakinkan atau mengelirukan.

 

 

Elemen penting yang pertama adalah karakter penceramah. Setiap insan mempunyai karakter yang berlainan. Oleh itu, kelainan inilah yang membawa keunikan dalam setiap ucapan yang disampaikan. Ada sesetengah orang lebih suka membawa ucapan dalam nada yang lembut, manakala sebahagian lagi lebih suka membawa ucapan dalam keadaan agresif. Semuanya bergantung kepada penceramah tersebut. Namun begitu, karakter yang dibawa juga haruslah bersesuaian dengan topik yang dibawa. Sebagai contoh, topik yang dibawa adalah bertemakan amaran penjagaan alam sekitar. Maka, secara tidak langsung, nada yang harus dibawa oleh penceramah adalah serius dan agresif. Secara amnya, karakter yang dibawa oleh penceramah haruslah bersesuaian dengan tajuk yang dibawa dalam ceramahnya.

 

 

Elemen yang kedua adalah audiens. Jika terdapat ceramah, pasti wujudnya pendengar setia. Namun begitu, tidak semua ceramah yang disampaikan oleh pengucap diterima baik oleh audiens. Di sini, penceramah juga memainkan peranan penting bagi mengekalkan fokus audiens. Antaranya, penceramah perlu sentiasa menjalankan komunikasi dua hala bersama audiens. Komunikasi dua hala ini bukan sahaja daripada segi lisan, malah daripada segi bukan lisan. Sebagai contoh, audiens mengangguk, memandang penceramah dan senyum. Interaksi dengan audiens juga wajar dilakukan seperti memberikan ruang untuk sesi soal jawab dan bertanya soalan kepada audiens. Perkara ini penting bagi memastikan ilmu yang disampaikan adalah dihadamkan oleh audiens.

 

 

Seterusnya, elemen yang ketiga adalah penampilan diri. Penampilan diri adalah penting dalam menentukan impresi pertama bagi seseorang, apatah lagi dalam berucap di tempat yang tidak dikenali ramai. Penampilan diri tidak tertakluk pada pada pakaian semata-mata, malah termasuk kelakuan tangan, badan dan reaksi muka. Ucapan yang disampaikan adalah nampak lebih meyakinkan apabila gerak geri tangan dilakukan secara bersesuaian. Tambahan juga, postur badan yang harus dijaga bagi setiap pengucapan awam yang dilakukan. Kesemua perkara tersebut, bukan sahaja mempengaruhi penampilan pengucap, malah turut mempengaruhi efektik pengucapan awam tersebut.

 

 

Setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, meskipun begitu, itu bukanlah alasan untuk mengalah dan menerima diri di takat itu sahaja. Individu haruslah sentiasa belajar untuk memperbaiki diri dan mengasah bakat yang ada dalam diri. Beberapa tips ringkas sebelum pengucapan awam adalah memahami topik yang disampaikan dan sentiasa yakin dalam pengucapan. Usah malu dan takut untuk bercakap di khalayak ramai, salah tidak mengapa, asalkan tidak sesat.

Tarikh Input: 02/07/2021 | Kemaskini: 02/07/2021 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEdSAi~