Tips Pengurusan Masa Untuk Pelajar Universiti | KOLEJ SEPULUH
» ARTIKEL » Tips Pengurusan Masa Untuk Pelajar Universiti

Tips Pengurusan Masa Untuk Pelajar Universiti

Disediakan oleh : Sekretariat Kebudayaan & Kesenian (SETA), Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Sepuluh, Sesi 2020/2021, UPM

Disediakan pada : 1Februari 2021

Adakah anda selalu rasa tertekan dengan tuntutan kerja yang banyak ? Semakin hari, semakin banyak tugasan sehingga anda rasa anda tidak mempunyai masa untuk menyiapkan tugasan-tugaasan tersebut ? Ini bermakna anda perlu memperbaiki cara pengurusan masa anda sehari-harian. Caranya adalah dengan menyusun tugasan-tugasan tersebut dan mengunakan masa anda secara efektif supaya lebih banyak perkara dapat anda selesaikan setiap hari. Dengan ini, anda mampu mengurangkan kadar stress atau tekanan yang dihadapi sekaligus meningkatkan produktiviti anda di rumah mahupun di universiti. Teknik pengurusan masa yang anda gunakan adalah amat penting. Justeru, ia mengambil sedikit masa untuk dibentuk dalam jangka masa yang panjang. Yang penting, anda perlu mencari cara atau teknik yang paling sesuai dengan diri anda dalam kesibukan yang anda hadapi. Sebagai permulaan, berikut merupakan 3 cara mudah untuk meningkatkan teknik pengurusan masa bagi meningkatkan kadar produktiviti diri.

Sebelum memulakan hari anda, senaraikan tugasan yang memerlukan perhatian yang segera. Tugasan yang kurang mustahak boleh memakan masa anda yang terhad kerana anda sering menggunakan tenaga yang melebihi keperluan pada tugasan sebegini kerana ia seringkali lebih mudah dan tidak terlalu memberi tekanan untuk disiapkan. Walaubagaimanapun, mengenalpasti tugasan yang lebih mustahak yang perlu diselesaikan setiap hari adalah penting kerana ia menyumbang kepada produktivti harian. Hal ini kerana, setelah mengetahui di mana patut anda salurkan tenaga harian anda, anda akan menyiapkan urusan harian anda mengikut aturan yang berkesan untuk diri dan jadual harian anda.Secara mudahnya, menyelesaikan tugasan yang lebih mustahak dulu mampu meningkatkan tahap fokus anda. Anda juga digalakkan untuk menggunakan teknik ‘pomodoro’ yang semakin popular untuk mengekalkan fokus anda dalam menyelesaikan suatu tugasan.

Selain itu, anda juga digalakkan untuk membawa ‘planner’ atau buku nota setiap masa dan tidak lupa untuk menyenaraikan segala jenis tugasan dan kerja yang terlintas dalam fikiran di dalam buku nota tersebut. Teknik ini sesungguhnya dapat memberikan motivasi untuk menyiapkan tugasan satu per satu. Caranya adalah dengan membuat senarai ‘to-do list’ sebelum memulakan hari anda mengikut keutamaan dan kepentingan. Pastikan juga bahawa anda tugasan tersebut mampu disiapkan. Sekiranya ada tugasan yang lebih besar untuk disiapkan dalam jangka masa yang lebih lama, jadikan ia satu-satunya tugasan anda dalam senarai tersebut. Selebihnya, anda boleh lakukan pada hari berikutnya. Untuk mempunyai teknik pengurusan masa yang lebih baik, anda mungkin berminat untuk cuba membahagikan 3 jenis senarai tugasan ini seperti tugasan rumah, tugasan universiti dan tugasan peribadi.

Apabila anda sudah mendapat suatu tugasan, tetapkan tarikh akhir yang realistik untuk anda ikuti. Hal ini penting untuk membantu anda mencatat tugasan dan tarikh akhir itu untuk diletakkan di ruang kerja anda. Ini akan memberi anda petunjuk visual untuk memastikan anda sentiasa melakukan tugasan anda. Adalah lebih baik sekiranya tarikh akhir setiap tugasan ditetapkan beberapa hari sebelum tarikh sebenar tugasan itu perlu dihantar supaya anda dapat menyelesaikan tugasan lain yang mungkin diberikan secara tiba-tiba. Cabar diri anda untuk menyiapkan tugasan sebelum tarikh akhir dan kemudian beri ganjaran kepada diri sendiri kerana berjaya mencapai matlamat anda dalam masa yang singkat dan terhad.

Konklusinya, apabila anda jelas tentang apa yang anda perlu lakukan, anda akan lebih fokus dan dapat menyelesaikan lebih banyak tugasan dalam masa yang lebih singkat. Pengurusan masa yang baik memerlukan skil untuk mengutamakan tugasan dan menyusunnya dengan cara yang dapat menjimatkan masa. Gunakan strategi di atas selama beberapa minggu dan lihat sekiranya strategi itu membantu anda. Anda mungkin terkejut betapa banyak masa yang anda ada sekiranya anda menguruskan masa dengan sebaik-baiknya.

Tarikh Input: 16/02/2021 | Kemaskini: 16/02/2021 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEdTAw~