UPM Kenali Budaya Dan Seni Bina India | TENTH COLLEGE
» NEWS » UPM kenali budaya dan seni bina India

UPM kenali budaya dan seni bina India

 

UPM kenali budaya dan seni bina India

Oleh : Hanafi Rashid

INDIA - Dalam mencapai tahap kebolehpasaran graduan, mahasiswa disarankan untuk peka terhadap perkembangan semasa dalam dan luar negara bagi memastikan pemikiran yang seiring dengan perkembangan dunia tanpa sempadan.

Sehubungan itu, seramai 16 pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menyertai Program Kembara Seni India dari 13 hingga 27 Januari lalu, bertujuan untuk menerokai seni rekabentuk dan budaya di India.

Program yang disertai oleh pelajar Kolej Sepuluh ini turut menjalinkan hubungan pendidikan dengan dua buah universiti di sana iaitu Bharathidasan University, Government College Engineering dan Cochin College.

Ahmad Qadry selaku Penasihat Program berkata, sambutan ketibaan mereka di universiti terbabit mendapat sambutan yang meriah kerana menurut kedua universiti itu, ini adalah julung kali mereka mendapat lawatan universiti dari Malaysia.

Menurutnya lagi, keakraban pelajar UPM dengan universiti di India itu diperkukuhkan lagi dengan perlawanan bola sepak yang menghasilkan keputusan seri, 1-1.

Program selama 14 hari ini telah berlangsung di dua buah negeri iaitu Tamil Nadu dan Kerala di mana 7 buah daerah yang berbeza dilawati di antaranya Chennai, Thanjavaur, Trichy, Madurai, Kodaikanal, Munnar dan berakhir di Kochi.

Antara aktiviti yang dilakukan semasa lawatan adalah menyambut pesta Pongal bersama penduduk Kampung Sengipatti, Thanjavaur. Sebagai Pengarah Program, Ravendran berkata ia merupakan suatu pengalaman yang manis lebih-lebih lagi mereka juga turut dihidangkan dengan nasi pongal yang merupakan makanan tradisional di India.

Selain itu, mereka juga telah menonton sebuah persembahan yang bertajuk ‘Daksha Yaga’ di Katahakali Centre yang mengisahkan tentang sejarah India.  

Program yang disertai oleh pelajar kejuruteraan dan reka bentuk perindustrian ini turut mengadakan lawatan ke kuil-kuil di India untuk melihat kemegahan seni bina di India.

Salah seorang peserta, Danial Hakim turut melahirkan rasa kagum terhadap Kuil Brihadeeswara yang dibina 3000 tahun lalu yang masih tersergam indah sehingga kini.

Dalam meniti keindahan seni bina di India, pelajar UPM ini juga turut memberi khidmat sosial terhadap penduduk di India. Antaranya ialah memberi makan percuma kepada pengemis jalanan, membantu servis dobi dan juga mengolah halia.

“Saya berasa gembira kerana dapat membantu masyarakat yang susah dan turut melahirkan rasa syukur kepada Allah kerana memberikan kesenangan kepada kita semua di Malaysia”, katanya.

Seperti di Malaysia, India juga turut memiliki keindahan alam semula jadi seperti di Kodaikanal dan Munnar. Kehijauan bumi dengan udara yang nyaman iaitu pada suhu 16 °C dapat menjanjikan suatu pengalaman yang menarik.

“Saya berasa teruja melihat kecantikan alam semula jadi di sini dan ia melahirkan rasa yang tenang sepanjang saya berada di situ”, katanya. – UPM

 

Date of Input: 18/04/2017 | Updated: 18/04/2017 | ridzuanm

MEDIA SHARING

TENTH COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEZAAg~