Folks Out For Charity II | TENTH COLLEGE
» NEWS » Folks Out For Charity II

Folks Out For Charity II

Kolej Sepuluh, 29 Februari dan 1 Mac 2020  - Jemaah Pengerusi Aras Kolej Sepuluh telah menganjurkan Program Folks Out For Charity II (FOC II) yang berlangsung pada 29 Februari dan 1 Mac 2020 di seluruh kawasan Kolej Sepuluh. Program ini merupakan hasil kesinambungan daripada FOC Sesi 2018/2019. Tujuan utama program FOC II ini diadakan adalah untuk menggalakkan para mahasiswa serta komuniti awam untuk berbakti kepada masyarakat melalui aktiviti keusahawanan, pameran kesihatan dan sukan.

 

Kehangatan program FOC II dimulakan dengan kejohanan ragbi kategori lelaki pada 29 Februari 2020 yang berlangsung daripada pukul 8.00 pagi sehingga pukul 4.00 petang bertempat di Padang B, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang telah menarik penyertaan sebanyak 12 kumpulan yang terdiri daripada pelajar UPM dan pelajar sekolah menengah. Pada masa yang sama juga, rumah hantu telah mula beroperasi di Rumah Tamu Blok Lelaki pada jam 9.00 pagi sehingga 10.00 malam. Setiap pengunjung dikenakan bayaran sebanyak RM 3.00 dan sebahagian keuntungan kutipan telah disalurkan kepada beberapa badan kebajikan yang memerlukan. Di samping itu, rumah hantu telah beroperasi pada kedua-dua hari program FOC II iaitu waktu yang sama sepertimana yang berlangsung pada hari pertama. Hal ini demikian kerana rumah hantu merupakan tarikan utama pengunjung yang mengunjungi FOC II seperti tahun yang sebelumnya.

 

Pada sesi malam 29 Februari 2020, para pelajar Kolej Sepuluh serta orang awam berkumpul di Dataran Blok Perempuan, Kolej Sepuluh untuk Cinema Night yang menjanjikan pengalaman menonton filem Escape Room (2019) bergenre seram secara beramai-ramai. Di samping itu, gerai-gerai jualan juga telah melanjutkan masa beroperasi sehingga tamatnya filem yang ditayangkan dan memberikan peluang untuk penonton menjamah sambil menonton filem yang ditayangkan.

 

Pada hari kedua FOC II yang juga merupakan hari terakhir Program Folks Out For Charity II (FOC II) iaitu pada 1 Mac telah dimulakan dengan kejohanan futsal dan pertandingan bola tampar di gelanggang futsal serta gelanggang bola tampar, Kolej Sepuluh yang bermula pada pukul 8.00 pagi sehingga pukul 5.00 petang. Kejohanan futsal telah melibatkan penyertaan sebanyak 32 pasukan yang terdiri daripada pasukan dari universiti awam dan swasta disekeliling UPM  manakala pertandingan bola tampar yang telah menarik penyertaan sebanyak 12 pasukan dan secara tidak langsung telah menghangatkan program FOC II.

 

Selain itu, terdapat juga aktiviti Booth Aras yang terlah melibatkan beberapa orang wakil daripada aras 1 hingga 6 membuka kaunter permainan untuk para pelajar mendapatkan merit dengan mudah. Antara  permainan yang dijalankan adalah Body Twister, Flip Bottle Ping Pong and Flip Cup Tic Tac Toe. Setelah selesai bermain, pelajar boleh mendapatkan merit di kaunter yang disediakan. Selain itu, pertambahan gerai jualan pada hari Ahad juga merupakan salah satu tarikan utama program ini. Pilihan makanan dan minuman lebih variasi malah ada juga yang dijual oleh pelajar Kolej Sepuluh sendiri. Manakala di dalam Dewan Sri Budiman, para pelajar boleh mendapatkan merit melalui pameran. Antara syarikat yang membuat pameran ialah Menara Optometry, Pusat Kesihatan Universiti UPM dan derma darah oleh Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).

 

Seterusnya, pada sesi pagi 1 Mac 2020 telah berlangsungnya Majlis Perasmian Folks Out For Charity II (FOC II) dan Colour War Festival 2020. Majlis perasmian dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan daripada pengarah program Colour War Festival 2020, Muhammad Arasy Bin Yusrannadzirin dan majlis diteruskan dengan ucapan perasmian daripada penolong pengurus, En Fadhlil Zakuan Ahmad Fadzil sekaligus merasmikan Majlis Perasmian Folks Out For Charity II (FOC II) dan Colour War Festival 2020. Majlis diteruskan dengan persembahan istimewa daripada jemputan iaitu persembahan karate daripada Japan Club Kuala Lumpur (JCKL). Setelah selesai majlis perasmian, para tetamu jemputan diiringi pengarah program ke bilik Bougenvilla, Kolej Sepuluh bagi makan tengahari.

 

Majlis diteruskan pada jam 2.00 petang dengan sesi persembahan daripada pelajar-pelajar UPM dan artis jemputan. Majlis dimulakan dengan kata aluan daripada pengerusi majlis secara santai. Persembahan pertama dimulakan dengan nyanyian solo oleh Aisswarya dan diteruskan dengan persembahan daripada pelajar Kolej Sepuluh iaitu Salihin. Di samping itu, persembahan pada waktu petang ini juga disertai oleh beberapa kelab yang terkenal di UPM antaranya nyanyian duet oleh Putra dan Puteri Nahwan disertai persembahan diabolo oleh kelab Zhong Hua. Selain itu, majlis dimeriahkan lagi dengan persembahan istimewa oleh artis jemputan Shazz yang telah mendendangkan beberapa buah lagu yang telah memikat hati para pengunjung yang hadir ke FOC II. Para pengunjung juga tidak melepaskan peluang untuk berswafoto bersama artis viral yang sedang meningkat naik dalam industri muzik negara.

 

Majlis Penutup Folks Out For Charity II (FOC II) dan Colour War Festival 2020 dimulakan dengan perarakan masuk tetamu jemputan dan  diteruskan dengan bacaan doa serta ucapan daripada pengarah program Folks Out For Charity II (FOC II), Shabil Izdihar Bin Ahmad Azmi dan diteruskan lagi ucapan perasmian penutup daripada wakil Pusat Alumni, Cik Siti Nur’ain Feisal sekaligus merasmikan Majlis Penutup Folks Out For Charity II (FOC II) dan Colour War Festival 2020. Majlis diteruskan dengan sesi forum bersama artis jemputan dan ikon sukarelawan yang tidak asing bagi rakyat Malaysia iaitu Heliza Helmi, yang bertajuk “Charity For All” bersama moderator, Siti Hana Alisa Binti Harun. Setelah selesai sesi forum santai, majlis diakhiri dengan persembahan istimewa daripada nyanyian band oleh Benkawen dan nyanyian solo oleh Irwan Hakimi. Majlis ditamatkan pada 11.30 malam dan dengan secara tidak langsungnya program FOC II 2020 telah melabuhkan tirainya.

Date of Input: 13/03/2020 | Updated: 09/06/2020 | fadhlil

MEDIA SHARING

TENTH COLLEGE
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEcAAW~