Colour War Festival 2020 | KOLEJ SEPULUH
» BERITA » Colour War Festival 2020

Colour War Festival 2020

 

Kolej Sepuluh, 1 Mac 2020 – Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian Kolej Sepuluh buat julung kalinya telah mengadakan program Colour War Festival 2020 dengan kerjasama Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) Universiti Putra Malaysia serta pihak pengurusan Kolej Sepuluh. Program ini telah berlangsung pada 1 Mac 2020 di padang dan sekitar Kolej Sepuluh, Universiti Putra Malaysia (UPM). Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan kepada semua warga UPM tentang kebudayaan kaum di Malaysia serta memupuk perpaduan dan integrasi antara kaum bagi melahirkan satu masyarakat yang harmoni tanpa mengira agama dan bangsa. Selain itu, Program ini dapat melahirkan generasi muda Kolej Sepuluh yang kental dan mampu memacu sesebuah organisasi dengan penuh karisma.

 

Program Colour War Festival 2020 bermula pada pukul 7.30 pagi. Dengan iringan tarian senamrobik sebagai aktiviti pemanas badan yang diketuai oleh beberapa pelajar Kolej Sepuluh sendiri. Aktiviti utama program iaitu perang warna bermula dengan diiringi kiraan masa oleh pengacara majlis iaitu saudara Danial Syazani dan saudari Rozaireen. Terdapat juga beberapa ‘booth’ permainan kecil yang disediakan termasuklah Shoot the Cup, Find the Clue in Mess dan Dart Balloon. Tidak dilupakan juga jualan baju dan serbuk warna dibuka bagi memberi peluang kepada pelajar yang ingin menyertai secara ‘walk-in’. Permainan perang warna berjalan dengan meriah dengan dilengkapi iringan muzik rancak dan membangkitkan jiwa muda setiap peserta untuk bersuka ria. Permainan tersebut melabuhkan tirai dengan jayanya pada pukul 10.30 pagi.

 

Semasa berlangsungnya majlis perasmian, program Colour War Festival 2020 juga diteruskan dengan pembukaan bengkel kesenian pada pukul 11.30 pagi. Antara bengkel kesenian yang diadakan ialah Bengkel Mencanting Batik, Bengkel Penulisan Khat, Bengkel Kaligrafi Cina serta Bengkel Pembuatan Kolam. Bengkel-bengkel tersebut diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran mengenai nilai kebudayaan dan kesenian pelbagai kaum di Malaysia dalam diri pelajar. Kesemua bengkel melabuhkan tirai dengan jayanya pada pukul 3.00 petang dengan bilangan kehadiran peserta yang memuaskan.

 

Berita Oleh : Siti Raudhah Mohd Rahim

 

Tarikh Input: 12/03/2020 | Kemaskini: 09/06/2020 | fadhlil

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEeNAv~