‘International Inbound Mobility' | KOLEJ SEPULUH
» BERITA » ‘International Inbound Mobility'

‘International Inbound Mobility'

SERDANG, 4 Disember 2022 – Persatuan Mahasiswa Kejuruteraan (PEMAJU) Universiti Putra Malaysia telah menganjurkan sebuah program mobiliti inbound iaitu International Inbound Mobility dengan kerjasama Persatuan Jurutera Pertanian dan Makanan Malaysia – Bahagian Pelajar (MSAE-SC), Persatuan Kejuruteraan Pemprosesan Makanan (PROFEC) dan Kolej Sepuluh. Program ini bertujuan untuk memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat dalam perkongsian ilmu akademik dan budaya bersama dengan pelajar dari luar negara. Program ini telah disertai oleh pelajar dari Universitas Brawijaya (UB), Indonesia yang terdiri daripada pelajar Kejuruteraan Pertanian dan Kejuruteraan Bioproses. Program ini telah dijalankan selama dua minggu iaitu bermula daripada 21 November 2022 sehingga 4 Disember 2022 dimana pelbagai aktiviti dan perkongsian telah dijalankan sepanjang tempoh ini. Aktiviti sepanjang tempoh dua minggu ini boleh dikategorikan kepada dua bahagian iaitu pengisian berunsurkan akademik dan aktiviti bebas. Para pelajar Universitas Brawijaya telah menghadiri pelbagai sesi perkongsian akademik berkenaan dengan teknologi dalam kejuruteraan yang disampaikan oleh para pensyarah daripada Fakulti Kejuruteraan tidak kira daripada pelbagai bidang. Mereka juga dapat didedahkan dengan suasana pembelajaran pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan menghadiri kuliah bersama-sama dengan pelajar UPM itu sendiri. Selain itu, aktiviti bebas seperti sukan, memasak, robotik dan pelbagai tour telah dijalankan bersama dengan pelajar UB bagi mengeratkan hubungan dan memperkenalkan mereka kepada budaya di Malaysia. Para pelajar UB dapat merasai pelbagai tour di dalam dan luar UPM termasuklah sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur. Antara tempat-tempat yang mereka dapat lawati adalah Farm Fresh, UPM, Ladang-ladang di Pusat Pertanian Putra, Kilang Coklat Beryl’s, Masjid Putra, IOI City Mall, Pasar Seni dan Petrosains, KLCC. Pelbagai cenderamata juga dibeli oleh mereka sebelum pulang ke Indonesia daripada pelbagai tempat yang mereka lawati ini. Mereka juga berpeluang untuk menyaksikan salah satu program interkolej di UPM iaitu Konvo Nuansa Zapin Interkolej yang bertempat di Panggung Percubaan, UPM sekali gus dapat mengenali adat dan budaya orang Melayu melalui program ini. Di penghujung program, sebuah Majlis Penutupan Program International Inbound Mobility diadakan di Auditorium Jurutera Radin Umar, Fakulti Kejuruteraan. Ucapan daripada tetamu kehormat dan pihak yang terlibat juga dialu-alukan serta pelbagai persembahan menarik daripada kedua-dua buah universiti turut dipersembahkan. Dengan itu, berakhirlah Program International Inbound Mobility yang berlangsung selama dua minggu. Pelbagai perkongsian dan pengalaman telah diperoleh daripada semua peserta yang menyertai program  tersebut. Diharapkan program sebegini dapat diteruskan lagi bagi menjamin kerjasama yang baik antara Universiti Putra Malaysia dan universiti-universiti luar negara.

 

Tarikh Input: 10/02/2023 | Kemaskini: 10/02/2023 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEeJAC~