Jelajah Mahasiswa K10 Bersama Komuniti | KOLEJ SEPULUH
» BERITA » Jelajah Mahasiswa K10 Bersama Komuniti

Jelajah Mahasiswa K10 Bersama Komuniti

MASJID KARIAH TELOK KEMANG, PORT DICKSON DAN INSTITUT ANTARABANGSA AKUAKULTUR DAN SAINS AKUATIK (i-Aquas), UPM, 29 OKTOBER 2022 – Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Sepuluh Sesi 2022/2023 telah menganjurkan sebuah program iaitu Jelajah Mahasiswa K10 Bersama Komuniti pada 29 Oktober 2022 (Sabtu). Program ini telah berjalan dengan jayanya bermula jam 7.30 pagi sehingga jam 10.30 malam dengan penglibatan yang aktif daripada para peserta seramai 64 orang terdiri daripada 21 orang lelaki dan 18 orang perempuan iaitu MPK Sesi 2020/2021, MPK Sesi 2021/2022, Felo dan Pengurusan Kolej Sepuluh. Objektif program ini telah berjaya dicapai dimana ia bertujuan untuk memberi peluang kepada peserta untuk menyumbang bakti kepada masyarakat di samping untuk menghargai segala usaha dan kerjasama yang telah diberikan oleh Majlis Perwakilan Kolej (MPK) khususnya bagi MPK Sesi 2020/2021 dan MPK Sesi 2021/2022.

Program ini dimulakan dengan aktiviti gotong-royong di Tanah Perkuburan Masjid Kariah Telok Kemang, Port Dickson oleh peserta program. Kehadiran peserta program disambut baik oleh wakil masjid iaitu En. Mustazar dan En. Tajuddin. Aktiviti gotong-royong ini mengambil masa selama dua (2) jam bermula jam 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Seterusnya, semua peserta dijemput ke masjid untuk menjamu hidangan yang disediakan. Aktiviti seterusnya diteruskan di i-Aquas iaitu Slot Ramah Mesra Bersama Alumni di mana tetamu jemputan untuk slot ini ialah Cik Aida Fitri binti Peli yang juga merupakan mantan Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM juga merangkap alumni Kolej Sepuluh. Terdapat banyak perkongsian yang dikongsi bersama dan dapat menginspirasikan para peserta.

Kemudian, aktiviti sukaneka mengambil tempat sejurus selepas Slot Ramah Mesra Bersama Alumni tamat iaitu pada jam 3.30 petang. Aktiviti sukaneka ini membawa dua (2) permainan yang biasa dilakukan iaitu mencari gula-gula di dalam tepung dan belon air. Tujuan aktiviti sukaneka ini dibuat adalah untuk merapatkan lagi hubungan antara peserta supaya jalinan ukhuwah yang dibina berkekalan. Pada sebelah petang, aktiviti plogging diadakan di sekitar kawasan pantai. Aktiviti diteruskan dengan persiapan Majlis Apresiasi Kolej Sepuluh 2022 iaitu persiapan tempat, makanan, hadiah dan sebagainya. Aktiviti barbeque menjadi tumpuan utama untuk pengisian malam tersebut di mana terdapat pelbagai makanan disediakan termasuk ayam dan sosej.

Akhir sekali, Majlis Apresiasi Kolej Sepuluh 2022 berjaya dilaksanakan di i-Aquas dengan kerjasama semua pihak. Antara tujuan majlis ini dibuat adalah sebagai tanda penghargaan kepada semua MPK Sesi 2020/2021 dan Sesi 2021/2022 atas sumbangan jasa dan bakti yang telah dicurahkan sepanjang bergelar MPK. Tidak dilupakan juga kepada mantan-mantan felo yang diraikan pada malam tersebut. Antara aktiviti yang dijalankan semasa majlis berlangsung adalah ucapan daripada wakil MPK Sesi 2020/2021, MPK Sesi 2021/2022, Pengarah Program dan Pengetua Kolej Sepuluh, sesi penyampaian cenderamata kepada wakil MPK dan alumni yang hadir serta acara tukar-tukar hadiah turut dilaksanakan.

Secara keseluruhan, program ini berjaya dilaksanakan dengan bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Post-mortem telah dijalankan untuk mengenalpasti penambahbaikan yang boleh dilakukan sepanjang program ini berlangsung. Diharapkan agar program ini dapat diteruskan dan ditambahbaik bagi memastikan ukhuwah yang terbina berkekalan.

Tarikh Input: 08/11/2022 | Kemaskini: 27/11/2022 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEeKAZ~