‘K10 SKILLS AND KNOWLEDGE YOUTH EMPOWERMENT (K10 SKYE) - THAILAND‘ | KOLEJ SEPULUH
» BERITA » ‘K10 SKILLS AND KNOWLEDGE YOUTH EMPOWERMENT (K10 SKYE) - THAILAND‘

‘K10 SKILLS AND KNOWLEDGE YOUTH EMPOWERMENT (K10 SKYE) - THAILAND‘

HATYAI, THAILAND, 1 OKTOBER 2022 – Majlis Perwakilan Pelajar (MPK), Kolej Sepuluh (K10) dengan kerjasama Pihak Pengurusan Kolej Sepuluh dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Universiti Putra Malaysia telah mengadakan program mobiliti pelajar ke Thailand iaitu K10 Skills and Knowledge Youth EmpowermenT (K10 SKYE). Program ini berlangsung secara fizikal selama dua minggu iaitu bermula pada 1 Oktober 2022 (Sabtu) sehingga 14 Oktober 2022 (Jumaat) dan dihoskan oleh Pihak Prince Songkhla University (PSU), kampus Hatyai, Thailand. Seramai 19 pelajar Kolej Sepuluh telah melibatkan diri bersama seorang pegawai pemantau iaitu ketua felo Kolej Sepuluh, En. Muhammad Fitri. Para peserta masing-masing terdiri daripada pelajar daripada Fakulti Kejuruteraan (FK) dan Fakulti Reka Bentuk dan Senibina (FRSB). 

 

Tujuan utama program ini dijalankan adalah untuk meningkatkan kebolehan untuk memimpin projek dan menyelia anggota pasukan. Selain itu adalah untuk meningkatkan kebolehan berunding dan mencapai persetujuan serta kebolehan menggunakan kemahiran bukan lisan. Di samping itu, program ini berupaya untuk meningkatkan kebolehan untuk memahami dan mengambil peranan bersilih ganti antara ketua kumpulan dan ahli kumpulan serta kebolehan mencari dan mengurus maklumat yang relevan dari pelbagai sumber. Tidak terkecuali, program ini bertujuan untuk melatih pelajar untuk membuat keputusan berdasarkan bukti yang kukuh dan mengembangkan serta membaiki kemahiran berfikir seperti menganalisis, menilai dan perbincangan. 

 

Dua minggu di Hatyai telah dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang padat, bermanfaat dan menarik. Antara aktiviti yang telah dijalankan bersama pihak PSU adalah seperti Pengajaran dan Pembelajaran di Fakulti Kejuruteraan PSU, kampus tour, pertukaran resepi masakan Malaysia-Thailand, perlawanan persahabatan futsal PSU-UPM dan persembahan pelajar PSU-UPM pada majlis penutupan. Pihak PSU turut mengendalikan beberapa siri lawatan ke beberapa kawasan tarikan di sekitar Songkhla dan Hatyai pada hujung minggu seperti ke Kong Hills, Songkhla Oldtown, Masjid Negeri Songkhla, Samila Beach, Chang Puak Camp, dan Koyo Island. 

 

Kesemua peserta memberi reaksi yang baik serta melibatkan diri secara aktif sepanjang program dijalankan. Fokus dan kerjasama yang diberikan masing-masing amat baik ketika program dijalankan. Di akhir program, setiap peserta tidak melepaskan peluang untuk berkongsi kenangan manis, dan komen serta penambahbaikan yang boleh diambil untuk program akan datang. 

 

Pihak Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Sepuluh mengucapkan ribuan terima kasih kepada peserta yang terlibat dan menjayakan program sepanjang dua minggu tersebut. Selain itu juga sekalung penghargaan kepada Pihak Pengurusan Kolej Sepuluh atas sumbangan yang diberikan dalam menjayakan program ini. Diharapkan agar program seperti ini dapat dijalankan lagi pada masa akan datang dengan lebih baik. 

 

Tarikh Input: 22/11/2022 | Kemaskini: 22/11/2022 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEeNAA~