Serdang, UPM 20 APRIL 2024 – “Sambutan yang menarik, pelajar dapat didedahkan dengan bervariasi aktiviti berilmiah yang mampu membentuk insan yang holistik seiring dengan cogan kata Universiti Putra Malaysia: Berilmu Berbakti” ucapan daripada Saudari Nasuha Ezzayani binti Elias, pengarah K10 UP SKILLS! 2.0. Sekretariat Akademik (ACAEX) dan Sekretariat Alumni dan Kerjaya telah menganjurkan program julung-julung kalinya yang bakal menjadi tradisi Kolej Sepuluh yang mampu membentuk kemahiran insaniah iaitu K10 UP SKILLS! 2.0 yang merupakan program kesinambungan daripada program yang lepas. Program ini telah melibatkan seramai 238 orang yang bukan sahaja khusus kepada pelajar Kolej Sepuluh, bahkan Kolej-Kolej Kediaman UPM, pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia sebagai rakan kolaborasi program dan masyarakat luar yang turut bersama menimba ilmu dalam program ini.
Program ini telah berlangsung secara berkala selama sebulan bermula pada 30 Mac 2024 sehingga 20 April 2024 dimana menyajikan pelbagai bengkel berilmiah seperti Expert in Mandarin Language Series, Python Starter Series dan Excel Basics Unlocked. Slot Expert in Mandarin Language Series telah dilakukan secara dalam talian pada 30 Mac 2024 (Sabtu), 31 Mac 2024 (Ahad), 6 April 2024 (Sabtu) dan 19 April 2024 (Jumaat) oleh Puan Chia Ju Chou pensyarah pelatih di Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC) yang kini mendapat pendidikan di Pusat Bahasa Taiwan. Dalam slot ini, peserta telah mempelajari asas kepada Bahasa Mandarin dan dinilai oleh Dr. Dong Xianling yang dijemput khas dari Chengde Medical University (CDMU). Selain itu, Python Starter Series dan Excel Basics Unlocked, slot ini dilaksanakan secara fizikal pada 20 April 2024 di Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia selama satu hari bermula dari jam 8:00 pagi hingga 4:00 petang.

Gambar 1: Sesi penilaian Bahasa Mandarin bersama Dr. Dong daripada Chengde Medical University, China
Sekiranya meneliti objektif yang lebih mendalam, program ini bukan sahaja memberikan pulangan ilmu semata-mata bahkan ia mampu mengiringi pelajar membuat anjakan paradigma dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan dengan kemahiran teknikal (hard skills) dan kemahiran insani (soft skills) serta mengintegrasikan ilmu tersebut dalam kehidupan seharian. Sehubungan dengan itu, pihak penganjur telah menjemput beberapa orang penceramah yang professional dalam bidang tersebut demi memastikan kualiti ilmu dan pendidikan yang akan menjadi batu loncatan kepada para peserta.
Program Excel Basics Unlocked telah berlangsung di Bilik Kuliah 6, Fakulti Kejuruteraan dimana pelajar menelaah ilmu dairpada penceramah Encik Ts. Saiful Ramadzan Hairani yang merupakan Pegawai Teknologi Maklumat di Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC), Universiti Putra Malaysia. Slot ini para peserta telah didedahkan dengan pelbagai perkara berkaitan perisian Microsoft Excel seperti vlookup, hlookup, sum dan sebagainya. Secara amnya, program ini menyasarkan objektif dimana pelajar didedahkan dengan penggunaan Excel secara asas seperti penyimpanan (store) dan manipulasi (manipulate) data. Seterunysa, data-data ini kemudiannya diproses dan ditayangkan dalam bentuk lebih tersusun seperti jadual, carta atau graf.

Gambar 2: Para peserta Excel Basics Unlocked bersama penceramah
Tidak dinafikan kemajuan teknologi empat penjuru sudah berada di hadapan mata kita, tetapi secara zahirnya adakah kita cakna akan kemajuan ini? Pada sisi pandangan lain pula, program ini juga dijalankan dengan menjemput penceramah bagi slot Python Starter Series Unlocked iaitu Prof. Madya Dr. Sharifah Mumtazah Syed Ahmad Abdul Rahman yang merupakan pensyarah di Fakulti Kejuruteraan, UPM. Pengisiannya pula lebih kepada permulaan Python kepada pemula dan beberapa sintaks (syntax) yang menjadi permulaan kepada pengajaran dalam pengaturcaraan Python ini. Selain itu, beberapa pembantu makmal (lab demonstrator) juga menyertai slot ini untuk membantu pelajar-pelajar yang hadir demi meningkatkan kefahaman dalam pengaturcaraan tersebut.

Gambar 3: Slot Python Starter Series sedang berlangsung

Gambar 4: Para peserta slot Python Starter Series
Akhir sekali, program ditutup dengan majlis penutupan yang berlangsung di Dewan Seminar, Fakulti Kejuruteraan pada pukul 3:00 petang. Dalam majlis ini, majlis penutupan berjalan dengan lancar dan ringkas. Perasmi bagi majlis ini adalah Encik Mohd Lutfi Mohd Tawil iaitu Timbalan Ketua Felo merangkap wakil Pengetua Kolej Sepuluh. Pemberian cenderamata dan saguhati juga telah dilakukan dengan menjemput wakil dari UKM iaitu Saudara Adil Farhan Jasrie Arman Sany serta wakil dari kalangan peserta untuk menerima sijil penyertaan. Setelah selesai majlis penutupan, semua individu yang terlibat menikmati juadah minum petang di Foyer, Fakulti Kejuruteraan UPM.

Gambar 5: Pihak penganjur K10 UP SKILLS! 2.0 bersama rakan kolaborasi Persatuan Mahasiswa Fakulti Ekonomi dan Pengurusan (PMFEP), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
Program ini telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan dalam kalangan pelajar serta berharap agar program seperti ini dapat dikekalkan bukan sahaja hanya memberikan pendidikan yang berkualiti kepada pelajar Kolej Sepuluh bahkan ke seantero dunia. Benar kata Al-Ghazali: "Bantinglah otak untuk mencari ilmu sebanyak-banyaknya guna mencari rahsia besar yang terkandung di dalam benda besar yang bernama dunia ini, tetapi pasanglah pelita dalam hati sanubari, iaitu pelita kehidupan jiwa."
Tarikh Input: 26/06/2024 | Kemaskini: 26/06/2024 | ruzaimi

PEJABAT AM
KOLEJ 10
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR