'LEAD CAMP' | KOLEJ SEPULUH
» BERITA » 'LEAD CAMP'

'LEAD CAMP'

KOLEJ SEPULUH, 13 Februari – Seramai 71 orang pelajar telah mengikuti program LEAD Camp 2023 yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sepuluh Sesi 2022/2023 dengan kerjasama pihak pentadbiran Kolej Sepuluh dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM. Program yang julung kali diadakan di Kolej Sepuluh ini telah berjaya dilaksanakan pada 13 hingga 17 Februari 2023. Program ini bertujuan untuk melatih peserta LEAD Camp 2023 untuk mengasah bakat kepimpinan dalam kalangan peserta dan mencari pelapis MPK Kolej Sepuluh bagi sesi yang akan datang. Sebanyak 10 Latihan Dalam Kumpulan (LDK) yang disediakan oleh Ahli Jawatankuasa program ini dan setiap LDK mempunyai objektif-objektif yang tersendiri. Program ini diadakan di dua tempat iaitu selama dua hari di Kolej Sepuluh, UPM dan 3 hari di Sultan Idris Shah Forestry Education Center (SISFEC). Peserta-peserta terdiri daripada pelajar tahun satu yang menetap di Kolej Sepuluh, UPM. Turut terlibat felo-felo Kolej Sepuluh seramai 12 orang sebagai pegawai pemantau program yang bertugas bagi program ini. MPK Kolej Sepuluh pula telah menjalankan tugas sebagai fasilitator sepanjang program ini berlangsung. Program ini telah memberi banyak kesan dan pendedahan kepada peserta tentang cara kepimpinan yang baik dan juga menguji peserta dari segi mental dan fizikal mereka. Peserta juga memberikan kerjasama dan respon yang baik bagi setiap aktiviti yang telah dijalankan oleh fasilitator. Program ini diakhiri dengan majlis penutupan yang diuruskan sendiri oleh peserta iaitu Majlis Penutupan LEAD Camp 2023. Majlis ini dihadiri oleh pengetua Kolej Sepuluh, Prof. Ts. Dr. Wan Zuha bin Wan Hasan sebagai tetamu jemputan. Beliau menyeru para peserta untuk mengambil segala ilmu yang telah mereka peroleh daripada program ini untuk digunakan pada masa hadapan. Semoga program ini dapat memberi inspirasi kepada semua pelajar untuk meneruskan legasi MPK di Kolej Sepuluh.

 

Tarikh Input: 22/03/2023 | Kemaskini: 22/03/2023 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEeLAw~