Lead Camp 2021 | KOLEJ SEPULUH
» BERITA » Lead Camp 2021

Lead Camp 2021

YOUTUBE LIVE, SALURAN K10 UPM, 5 JUN 2021 – Pada 12 dan 13 Jun 2021 yang lalu, Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sepuluh telah menganjurkan program LEAD CAMP 2021 secara maya dengan jaya. Program ini merupakan program tahunan yang kebiasaannya dilaksanakan secara fizikal. Namun, disebabkan oleh kekangan pandemik, program ini terpaksa ditukarkan kepada atas talian menerusi aplikasi Zoom. Sungguhpun begitu, objektifnya masih sama iaitu ingin mengasah sifat kepimpinan dan melahirkan pelapis untuk barisan MPK pada sesi hadapan. Bukan itu sahaja, pengisian program untuk kali ini juga adalah lebih berinovasi yang mana mengketengahkan kemahiran berkomunikasi, kepimpinan, keusahawanan, kerjasama sesama kumpulan dan sebagainya.

Seramai 55 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar tahun satu sehingga tahun tiga telah mengambil bahagian. Mereka ini kemudiannya dipecahkan kepada enam kumpulan, yang mana satu kumpulan mempunyai 8-9 orang ahli daripada pelbagai kos, tahun pengajian dan bangsa. Manakala fasilitator pula terdiri daripada barisan MPK dan felo-felo penasihat sekretariat. Selain penyertaan daripada kalangan pelajar, program ini juga diserikan oleh penglibatan secara langsung oleh pegawai Bahagian Kaunseling (BK) UPM ketika slot Ujian Personaliti, pegawai tadbir Kolej Sepuluh ketika slot Coretan Kolej, dan barisan felo sepanjang program khususnya ketika slot Task Force.

Jadual pada hari pertama (12 Jun 2021) agak padat dengan pengisian program iaitu Sesi Taklimat, Ice Breaking, Escape Room, Ujian Personaliti, Sesi Pengenalan Sekretariat dan Task Force. Setiap slot mempunyai modul-modul yang berbeza supaya para peserta dapat menggarap setiap kemahiran insaniah yang ingin diterapkan. Program dimulakan dengan Sesi Taklimat dan Ice Breaking yang dikendalikan oleh pengarah program, iaitu Saudara Muhammad Muszaffar bin Mustaphar. Slot ini memberi peluang kepada peserta untuk mengenali para MPK Kolej Sepuluh sesi 2020/2021. Selain mengenali barisan MPK, mereka juga didedahkan dengan fungsi sekretariat di Kolej Sepuluh ketika slot Pengenalan Sekretariat. Kedua-dua slot ini adalah penting supaya mereka dapat menggambarkan peranan dan serta terma rujukan sebagai seorang MPK secara kasarnya. Bukan itu sahaja, program pada kali ini juga turut mencabar minda dan pemikiran kritis para peserta melalui permainan dalam slot Escape Room. Kumpulan kecil yang telah dibahagikan tadi perlu menyelesaikan tugasan dalam setiap breakout room yang dikendalikan oleh para fasilitator dalam usaha untuk mendapatkan klu dan markah yang maksimum. Dalam pada itu, terdapat juga modul yang menguji tahap kejujuran seperti slot Ujian Personaliti yang dikendalikan oleh Encik Ashaari bin Awab, pegawai Bahagian Kaunseling (BK) UPM. Slot ini penting untuk para peserta dapat mengenali kelebihan dan kekurangan masing-masing agar mereka dapat saling memahami dan saling melengkapi antara satu sama lain. Cabaran semakin menghimpit para peserta ketika slot Task Force di mana mereka diberi tugasan yang berbentuk penganjuran program dan permasalahan sekretariat yang perlu diselesaikan secara berhemah dan teliti. Tidak dinafikan bahawa slot ini telah dapat mengeratkan hubungan antara peserta dengan felo oleh kerana menglibatan felo secara langsung dalam membantu mereka menyelesaikan permasalahan yang diberikan.

Memasuki hari kedua (13 Jun 2021) pula, peserta diberi peluang untuk meluahkan permasalahan terhadap fasiliti di kolej dan mencadangkan solusinya kepada pegawai tadbir Kolej Sepuluh iaitu Puan Rahiza ketika slot Coretan Kolej. Terdapat banyak buah fikiran yang bernas telah dicadangkan oleh peserta dan diterima dengan baik oleh Puan Rahiza. Antara yang dibincangkan adalah berkaitan menu harian yang sama di kafe, keberadaan mesin basuh di blok perempuan dan sampah sarap di blok. Bergerak ke slot Pohon Teguh pula, para peserta diuji dengan nilai kejujuran, kerjasama dan semangat setiap kawan dalam kalangan mereka. Tugasan yang diberikan ringkas sahaja tetapi memerlukan justifikasi yang kukuh dalam setiap pilihan yang dibuat. Slot terakhir dan kemuncak program adalah Majlis Penutupan Program LEAD Camp 2021. Majlis ini adalah tugasan terakhir mereka dan menjadi kayu ukur kepada sejauh mana input yang mereka perolehi sepanjang kem ini. Hal ini kerana majlis ini telah dikendalikan sepenuhnya oleh para peserta. Syukur kerana majlis ini berjalan dengan lancar dengan adanya persembahan serta ucapan perasmian penutup daripada Puan Rahiza yang mewakili Prof. Madya Ir. Dr. Nuraini Abdul Aziz, pengetua Kolej Sepeluh.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya dijalankan walaupun dalam kaedah yang berbeza berbanding belum ini. Terdapat juga kelompangan dan kekurangan namun ini adalah permulaan dalam kita semua melalui kehidupan norma baharu. Semoga program ini dapat dianjurkan lagi pada sesi hadapan supaya matlamat dan tradisi Kolej Sepuluh terus terpelihara.

Tarikh Input: 14/07/2021 | Kemaskini: 14/07/2021 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEeIAE~