MALAM GEMILANG ELITE RECOGNITION AWARD (MAGERA) 2024 | KOLEJ SEPULUH
» BERITA » MALAM GEMILANG ELITE RECOGNITION AWARD (MAGERA) 2024

MALAM GEMILANG ELITE RECOGNITION AWARD (MAGERA) 2024

TEMA: MAGERA 2024: Tradisi dan Prestasi Mewarnai Malam Gemilang Kolej Sepuluh

 

Putrajaya, 9 Jun 2024 - “Majlis yang sungguh berprestij dan memberi inspirasi di mana pelajar dapat diiktiraf dalam pelbagai pencapaian mereka seperti bidang akademik, kepimpinan, kesenian, sukan dan keusahawanan. Sekaligus menyahut cogan kata Universiti Putra Malaysia iaitu Berilmu Berbakti,” kata Muhammad Syafiq bin Roslan, Pengarah Program Malam Gemilang Elite Recognition Award (MAGERA) 2024.

 

MAGERA 2024 anjuran Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sepuluh Sesi 2023/2024 dengan kerjasama Pihak Pengurusan Kolej Sepuluh, Kesatuan Mahasiswa (KM) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) berlangsung di The Renjana, Lanai Asmara, Putrajaya. Majlis ini dirasmikan oleh YBrs. Ts. Dr. Luthffi Idzhar bin Ismail, Pengetua Kolej Sepuluh yang turut menyampaikan anugerah kepada para pemenang.

Gambar 1: Ucapan perasmian daripada Pengetua Kolej Sepuluh

MAGERA 2024 merupakan program tahunan Kolej Sepuluh bagi memberikan penghargaan dan anugerah kepada pelajar yang bergiat aktif menyertai pelbagai aktiviti dan program serta menyumbang bakti kepada Kolej Sepuluh. Anugerah yang diberikan terbahagi kepada dua kategori iaitu anugerah kumpulan dan anugerah individu. Program ini juga diadakan untuk meraikan pelajar tahun akhir yang bakal bergraduat.

 

Gambar 2: Pelajar Tahun Akhir yang menghadiri Malam Gemilang Elite Recognition Award (MAGERA) 2024

Majlis yang berlangsung ini dihadiri oleh 414 individu yang terdiri daripada barisan pengurusan dan felo Kolej Sepuluh, tetamu jemputan, jemaah pengetua dan presiden-presiden kolej. MAGERA ini tidak akan lengkap dengan kehadiran pelajar tahun akhir serta pemenang anugerah untuk merealisasikan objektif program ini. Suasana penuh gilang gemilang ini menyaksikan penyampaian beberapa anugerah berprestij yang mengiktiraf pencapaian individu dan kumpulan.

 

Antara anugerah individu yang disampaikan adalah Anugerah Seri Gemilang (Elite Grand Award) iaitu anugerah tertinggi pada malam itu. Anugerah Seri Gemilang MAGERA 2024 dinobatkan kepada Saudari Humairatul Huda binti Sudarman atas kecemerlangan luar biasa beliau. Anugerah Seri Wibawa (Kepimpinan) pula dianugerahkan kepada Saudara Ahmad Nubli bin Zainal Abidin sebagai penghargaan terhadap kepimpinan yang cemerlang. Selain itu, Anugerah Seri Intelek (Akademik) diterima oleh Saudara Muhammad Afiq Aiman bin Aziz bagi mengiktiraf pencapaian akademik beliau yang sangat membanggakan.

Gambar 3: Saudari Humairatul Huda binti Sudarman dianugerahkan Anugerah Seri Gemilang

Dalam kategori anugerah berkumpulan, Anugerah Sekretariat Terbaik dinobatkan kepada Sekretariat Akademik (ACAEX) atas prestasi sekretariat yang cemerlang. Anugerah Program Permata pula diraih oleh K10 Skills and Knowledge Youth Empowerment (K10SKYE) Thailand menandakan kejayaan program tersebut dalam pelaksanaan program secara keseluruhan. Akhir sekali, Anugerah Sekretariat Sokongan dimenangi oleh Sekretariat Teknikal dan Multimedia yang diiktiraf atas sokongan mereka yang tidak ternilai dalam pelaksanaan program di Kolej Sepuluh.

 

Gambar 4: Anugerah Sekretariat Terbaik dinobatkan kepada Sekretariat Akademik (ACAEX)

Selain penyampaian anugerah, majlis turut diserikan dengan persembahan kesenian dan kebudayaan serta jamuan makan malam yang mengeratkan hubungan antara warga kolej. MAGERA 2024 turut mendapat tajaan daripada pelbagai pihak termasuk Syarikat Yus Care Cool, Syarikat Proville Tech Sdn Bhd dan beberapa individu seperti Encik Hasrizal dan Encik Asraf yang membantu penganjuran program ini.

 

Program ini bukan sahaja bertujuan menghargai sumbangan pelajar malah melatih mereka dalam aspek kepimpinan, perancangan dan pengurusan. Aktiviti seperti ini dapat mengasah kebolehan pelajar dalam membuat keputusan dan menyelia program dengan berkesan. Selain itu, program ini juga memupuk semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan pelajar di samping menggalakkan mereka untuk terus menyumbang kepada masyarakat dan universiti.

 

Gambar 5: Ahli Jawatankuasa MAGERA 2024 bersama Pengetua, Pengurusan Kolej Sepuluh, Felo dan Majlis Perwakilan Kolej (MPK) 2023/2024

 

Dengan adanya program seperti ini, Kolej Sepuluh terus komited dalam melahirkan pemimpin masa depan yang berdaya saing dan berketerampilan tinggi. Malam Gemilang Elite Recognition Award (MAGERA) 2024 berjaya mencapai matlamatnya dalam melahirkan graduan yang berkualiti sekaligus membanggakan nama universiti. Seperti kata Nelson Mandela, "Kejayaan bukanlah satu destinasi tetapi perjalanan yang memerlukan usaha tanpa henti dan ketekunan."

Tarikh Input: 07/08/2024 | Kemaskini: 07/08/2024 | ruzaimi

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
S, (08:59:59pm-09:04:59pm, 18 Apr 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]