Misi Bantuan Banjir (27 Dec 2021) | KOLEJ SEPULUH
» BERITA » Misi Bantuan Banjir (27 Dec 2021)

Misi Bantuan Banjir (27 Dec 2021)

SERDANG – KOLEJ SEPULUH, 27 DISEMBER 2021 - Sekretariat Sukarelawan Kolej Sepuluh telah menganjurkan Misi Bantuan Banjir yang berlangsung pada 27 Disember 2021 di sekitar kawasan Bukit Changgang. Misi tersebut disertai oleh ahli kelab sukarelawan yang dikenali sebagai K10 ResQ Team. Tujuan utama program ini diadakan adalah untuk meringankan beban penduduk di Taman Seri Changgang 2 yang dilanda bencana banjir serta memberi pengalaman baru kepada pelajar Universiti Putra Malaysia untuk menyertai program kebajikan seperti ini. Program yang telah dijalankan bermula dari jam 7.00 pagi sehingga jam 3.00 petang itu telah menarik penyertaan sebanyak 180 orang pelajar namun disebabkan beberapa kekangan, 38 orang pelajar dan 3 staf Universiti Putra Malaysia sahaja yang digerakkan untuk membantu misi bantuan banjir pada hari kejadian. Setibanya di sana, pelajar dibahagikan kepada 6 buah kumpulan untuk memulakan misi bantuan di mana mereka pergi ke setiap rumah untuk bertanyakan bantuan apa yang diperlukan. Secara dasarnya, setiap rumah memerlukan bantuan untuk melakukan kerja-kerja pembersihan. Para sukarelawan menolong membersihkan barang keperluan rumah seperti pinggan, mangkuk, karpet, sofa dan juga peti sejuk. Barang-barang seperti sofa dan karpet dibasuh menggunakan water jet yang telah dipinjam daripada Puan Raihan iaitu felo Kolej Sepuluh. Setelah siap dibersihkan, barangan penduduk yang sudah tidak boleh digunakan lagi diletakkan dihadapan rumah mangsa banjir bagi memudahkan kerja-kerja pelupusan. K10 ResQ Team mengakhiri misi bantuan di Taman Seri Changgang 2 pada jam 3.00 petang dan bertolak pulang ke Kolej Sepuluh, Universiti Putra Malaysia. Program yang telah dijalankan berjalan dengan sangat lancar dan mendapat maklum balas yang positif dari pelbagai pihak.

Para sukarelawan menyapu kawasan lantai rumah yang kotor dinaiki air yang bercampur lumpur ketika banjir.

Para sukarelawan mencuci karpet mangsa banjir yang telah kotor.

Para sukarelawan wanita membantu mencuci barang peralatan dapur seperti pinggan dan cawan.

Sampah-sampah dan barang yang tidak dapat digunakan lagi dihimpunkan di hadapan rumah.

Tarikh Input: 18/01/2022 | Kemaskini: 18/01/2022 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEeNAu~