Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM, 15 Januari 2025 – Sekretariat Kerohanian dan Perpaduan (SKP), Kolej Sepuluh Universiti Putra Malaysia (UPM), dengan kerjasama Majlis Perwakilan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan (FOSTECH) telah berjaya menganjurkan Program K10 Kembara Rasa pada 12 Januari 2025 yang lalu di Laman Mahasiswa, Food 1, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Universiti Putra Malaysia. Program ini bertujuan mencungkil bakat pelajar dalam bidang kulinari dan meningkatkan persaingan sihat bagi para peserta yang berbakat.
Seramai 29 orang peserta dari kalangan pelajar Kolej Sepuluh telah menunjukkan kebolehan mereka dalam pertandingan memasak ini. Program dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta dan persiapan memasak. Pada jam 9:00 pagi, setiap kumpulan menerima bahan asas serta pelbagai rempah tradisional untuk menghasilkan hidangan kreatif mereka dalam masa satu jam. Setelah itu, cabaran seterusnya, “Cabaran Misteri,” diumumkan. Dalam cabaran ini, peserta perlu menyediakan hidangan pembuka selera atau pencuci mulut serta minuman tradisional dalam tempoh 45 minit. Aktiviti ini menguji kreativiti, ketangkasan, serta kemahiran memasak peserta dalam masa yang terhad.
Penjurian dilakukan oleh panel profesional yang terdiri daripada YBhg. Profesor Dr. Muhammad Shahrim bin Karim (Chef Selebriti UPM), YBrs. Dr. Muhammad Rezza bin Zainal Abidin (Pensyarah Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM), serta Puan Nurhaslinda binti Karim (Penolong Pendaftar Kanan, Pengurus Kolej Sepuluh). Setelah menilai hidangan peserta, kumpulan “Triple Star” diumumkan sebagai juara keseluruhan, diikuti oleh “Mechaeros” di tempat kedua dan “Flat Ikan” di tempat ketiga. Sementara itu, kumpulan “Misoyanawa” dinobatkan sebagai pemenang utama “Cabaran Misteri.”
Majlis diakhiri dengan ucapan penghargaan daripada pengarah program serta penyampaian hadiah kepada para pemenang. Selain memberikan pengalaman berharga kepada peserta dalam seni kulinari, program ini turut berjaya menyemai semangat perpaduan melalui kolaborasi antara pelajar dan komuniti setempat. Inisiatif ini diharapkan dapat mengeratkan hubungan antara institusi pendidikan dan masyarakat, serta memelihara warisan budaya makanan tempatan yang kaya dengan nilai sejarah dan identiti bangsa.

Gambar 1: Sesi menyediakan hidangan pertama oleh kumpulan ”Flat Ikan”.

Gambar 2: Kumpulan "Aglio" menggulung roti jala.

Gambar 3: Ahli Kumpulan “Diva Dapur” sedang menghasilkan hidangan.

Gambar 4: Sesi penjurian oleh panel juri.

Gambar 5: Sesi penyampaian hadiah kepada Johan Pertandingan Memasak Program K10 Kembara Rasa kepada Kumpulan “Triple Star”.
Tarikh Input: 19/03/2025 | Kemaskini: 19/03/2025 | ruzaimi

PEJABAT AM
KOLEJ 10
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR