Kolej Sepuluh, Universiti Putra Malaysia (UPM), 17 Mei 2026 – Sekretariat Akademik dan Pembangunan Intelektual (ACAEX), Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sepuluh Sesi 2025/2026 telah berjaya menganjurkan Program "Mind Wars: The Battle of Strategy" yang berlangsung di Bilik Ilmiah, Kolej Sepuluh, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Program yang berlangsung dari jam 1:45 petang hingga 6:30 petang ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada pelajar Kolej Sepuluh serta mahasiswa daripada kolej kediaman lain seperti Kolej Pendeta Za'ba dan Kolej Canselor. Program ini bertujuan meningkatkan kemahiran pemikiran strategik, komunikasi, kepimpinan serta kerjasama berpasukan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan gamifikasi.
Sepanjang program berlangsung, para peserta dibahagikan kepada enam kumpulan dan bersaing dalam dua slot utama iaitu The Tycoon Race dan The Survivor Ladder. Pelbagai permainan interaktif seperti Family Feud, Monopoly, Text or Sink dan Snake and Ladder telah dijalankan bagi menguji keupayaan peserta menyelesaikan masalah, membuat keputusan serta bekerjasama dalam pasukan. Setiap aktiviti direka bagi mewujudkan suasana pembelajaran yang menyeronokkan di samping membina daya tahan mental dan pemikiran kritis dalam kalangan peserta.
Program ini telah dirasmikan oleh Ketua Felo Kolej Sepuluh, Encik Ts. Saiful Ramadzan Hairani. Kejayaan penganjuran program ini turut disokong melalui kerjasama erat antara pihak pengurusan kolej, Kesatuan Mahasiswa (KM), Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) serta semua ahli jawatankuasa pelaksana yang memastikan kelancaran perjalanan program.
Secara keseluruhannya, Program "Mind Wars: The Battle of Strategy" berjaya mencapai objektif penganjurannya dengan memberi pengalaman pembelajaran yang interaktif dan bermanfaat kepada para peserta. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan bagi melahirkan mahasiswa yang kreatif, berfikiran strategik serta memiliki kemahiran insaniah yang cemerlang.

Gambar 1: Peserta mengambil tempat bagi aktiviti bagi Slot 1 iaitu The Tycoon Race.

Gambar 2: Aktiviti bagi Slot 2 iaitu The Survivor Ladder sedang berjalan.

Gambar 3: Sesi Penyampaian Hadiah.

Gambar 4: Sesi fotografi bersama peserta.
Tarikh Input: 12/07/2026 | Kemaskini: 12/07/2026 | ruzaimi

PEJABAT AM
KOLEJ 10
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR