PROGRAM SEMARAK SISWA MADANI @ K10 OUTREACH 2.0 II | KOLEJ SEPULUH
» BERITA » PROGRAM SEMARAK SISWA MADANI @ K10 OUTREACH 2.0 II

PROGRAM SEMARAK SISWA MADANI @ K10 OUTREACH 2.0 II

Kolej Sepuluh, UPM - Pada 23 dan 30 Mac 2024 (Sabtu), Sekretariat Sukarelawan Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sepuluh Sesi 2023/2024 telah menganjurkan sebuah Program Semarak Siswa MADANI @ K10 Outreach 2.0 dengan kerjasama Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Petaling Jaya, Anjung Kembara, Kuala Lumpur, Pihak Pengurusan Kolej Sepuluh, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Kesatuan Mahasiswa (KM) dan Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Universiti Putra Malaysia yang bertempat di Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Petaling Jaya dan Anjung Kembara, Kuala Lumpur.

Program ini merupakan program kesinambungan Sekretariat Sukarelawan Sesi 2022/2023 dan diadakan bertujuan untuk membangunkan kerjasama bersama masyarakat setempat untuk menyokong golongan gelandangan serta anak-anak yatim. Selain itu, program ini bertujuan untuk menjaga dan memelihara identiti budaya dan agama mereka. Dengan adanya tajaan daripada Syarikat Yayasan Vfive, tujuan utama program ini dapat diteruskan dan dilaksanakan bagi memberi peluang dan kesedaran kepada pelajar untuk membentuk jati diri dari aspek kesukarelawanan. Program ini memfokuskan kepada beberapa konteks sukarelawan terhadap kebajikan masyarakat sekeliling. Melalui program ini, mahasiswa dapat mempraktikkan kemahiran insaniah seperti kemahiran komunikasi bagi melatih mahasiswa supaya cekap berkhidmat kepada masyarakat terutamanya anak-anak yatim dan golongan gelandangan. Dalam masa yang sama, sebagai mahasiswa kami menyahut usaha kerajaan dalam memperkasa nilai prihatin dan konsep Malaysia MADANI yang memfokuskan jalinan akrab antara mahasiswa dan komuniti.

Program Semarak Siswa MADANI @ K10 Outreach 2.0 yang melibatkan 27 orang pelajar dan 2 pegawai pengiring Kolej Sepuluh, Universiti Putra Malaysia telah diadakan di Pusat Jagaan Telaga Kasih Nur Muhammad, Petaling Jaya. Beberapa aktiviti yang telah dijalankan seperti pertandingan mewarna dan pengagihan kit alat tulis telah dapat mendedahkan penghuni pusat jagaan tersebut dengan nilai-nilai positif sebagai sebahagian daripada usaha untuk melahirkan individu yang berkebolehan dalam merangsang potensi kreatif dalam diri mereka. Melalui program ini, para peserta diberi peluang untuk beramah mesra bersama anak-anak yatim, secara tidak langsung mereka juga dapat mengekalkan budaya hormat-menghormati dan berkasih-sayang antara satu sama lain. Tanggungjawab berkenaan hal ehwal anak yatim jelas disebutkan di dalam surah Al-Baqarah, ayat 220 yang bermaksud: “Dan mereka bertanyakan kepada mu (wahai Muhammad) terhadap anak-anak yatim. Katakanlah bahawa berbuat islah (kebaikan) kepada mereka (anak-anak yatim) adalah merupakan suatu kebaikan”. 

Pelaksanaan program ini dapat meningkatkan kesedaran mahasiswa dan semua pihak amnya mengenai kebajikan anak-anak yatim dalam menjamin kesejahteraan masyarakat dengan membawa perubahan yang positif untuk membangun komuniti yang lebih aman dan harmoni. Disamping memberikan perhatian terhadap golongan yang kurang bernasib baik bagi menerapkan rasa simpati, empati dan kasih sayang dalam kalangan mahasiswa, hubungan sesama komuniti juga menjadi lebih erat melalui kerjasama yang dijalin sepanjang program berlangsung.

Gambar 1 : Para peserta Program Semarak Siswa Madani @ K10 Outreach 2.0

Gambar 2 : Aktiviti pertandingan mewarna bersama anak-anak yatim Pusat Jagaan
Telaga Kasih Nur Muhammad

Seterusnya, Program Semarak Siswa MADANI @ K10 Outreach 2.0 yang bertempat di Anjung Kembara, Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dihadiri oleh 40 orang pelajar yang terdiri daripada pelajar Kolej Sepuluh (K10), UPM. Antara aktiviti yang dijalankan adalah aktiviti street barber, pengagihan kit toiletries dan baju-baju terpakai serta sesi beramah-mesra bersama golongan gelandangan. Aktiviti yang dilaksanakan ini dapat mencipta platform bagi membina interaksi sosial yang positif di antara para peserta dan golongan gelandangan yang terlibat di samping meningkatkan persepsi masyarakat untuk melihat golongan gelandangan sebagai individu yang ingin menjaga penampilan diri mereka. Ini juga dapat menunjukkan usaha mereka untuk berubah ke arah yang lebih baik dalam hidup mereka dan melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan. Dengan ini, stereotaip negatif yang sering dikaitkan dengan golongan gelandangan dapat diubah dan digantikan dengan persepsi yang lebih realistik, empatik, dan hormat-menghormati.

Gambar 4 : Para peserta Program Semarak Siswa Madani @ K10 Outreach 2.0 di
Anjung Kembara, Kuala Lumpur

Pelaksanaan program ini dapat mempertingkatkan kualiti hidup dan memupuk kesedaran golongan gelandangan mengenai kepentingan penjagaan diri dan menambah baik keupayaan golongan gelandangan bagi pembangunan kendiri dalam kemahiran berinteraksi serta perkembangan aspek emosi dan psikologi yang membantu merangsang motivasi mereka untuk membuat perubahan positif dalam kehidupan mereka. Perkara ini juga dapat mengurangkan diskriminasi yang sering dialami dan memberikan peluang kepada mereka untuk membuktikan kepada masyarakat bahawa mereka adalah individu yang berharga dan berpotensi dalam membina kehidupan yang lebih baik.

Gambar 5: Aktiviti street barber bersama golongan gelandangan

Tarikh Input: 25/06/2024 | Kemaskini: 25/06/2024 | ruzaimi

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
W, (01:59:33pm-02:04:33pm, 18 May 2026)   [*LIVETIMESTAMP*]