Kolej Sepuluh,UPM - Pada 14 dan 15 Oktober 2023, Sekretariat Sukarelawan dan Sekretariat Alam Sekitar Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sepuluh Sesi 2023/2024 akan menganjurkan sebuah program K10 YouthCare 2.0 dengan kerjasama Pihak Pengurusan Kolej Sepuluh, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS).
Penganjuran aktiviti bersama masyarakat setempat ini adalah sebahagian daripada kesinambungan program K10 YouthCare pada tahun 2022 yang lepas. Program K10 YouthCare 2.0 ini diadakan bertujuan untuk memberi kesedaran kepada pelajar mengenai kebersihan alam sekitar dan masalah pencemaran sisa sampah yang semakin membimbangkan. Selain itu, ia juga bertujuan untuk memupuk semangat kesukarelawanan, bertanggungjawab dan melahirkan pelajar yang mementingkan kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Antara pengisian program yang bakal dijalankan ialah aktiviti pembersihan sampah dan penanaman pokok paya bakau di Pulau Ketam, Pelabuhan Klang bersama Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) serta ceramah kesedaran berkaitan pemeliharaan eko-pelancongan.
Program K10 YouthCare 2.0 yang melibatkan aktiviti pembersihan sampah dan penanaman pokok paya bakau di Pulau Ketam terhad kepada 80 orang pelajar sahaja yang terdiri daripada pelajar Kolej Sepuluh UPM. Aktiviti ini adalah sebahagian daripada usaha untuk melahirkan individu yang berkebolehan dalam memahami kesan ekonomi, alam sekitar dan sosiobudaya dalam amalan profesional. Tanggungjawab pelestarian alam sekitar telah disebut dengan jelas dalam surah Hud, ayat 61 yang bermaksud: “Dialah yang menjadikan kamu daripada bahan-bahan bumi dan menghendaki kamu memakmurkannya”.

Gambar 1: Aktiviti penanaman anak pokok bakau.

Gambar 2:Sesi bergambar bersama tetamu jemputan dari JPNS, penaja, Vfive Group dan peserta program.


Gambar 3: Aktiviti sukan rakyat bersama komuniti perumahan Taman Sri Serdang.
Tarikh Input: 25/06/2024 | Kemaskini: 25/06/2024 | ruzaimi

PEJABAT AM
KOLEJ 10
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR