Semarak Siswa MADANI @ K10 Youthcare 2.0 | KOLEJ SEPULUH
» BERITA » Semarak Siswa MADANI @ K10 Youthcare 2.0

Semarak Siswa MADANI @ K10 Youthcare 2.0

   

   

Program Semarak Siswa MADANI @ K10 YouthCare 2.0 telah diadakan di Kolej Sepuluh (K10), Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 14 dan 15 Oktober 2023. Program ini merupakan kerjasama antara Sekretariat Sukarelawan, Sekretariat Alam Sekitar Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sepuluh, dan beberapa pihak termasuk Pihak Pengurusan Kolej Sepuluh, Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN), Fakulti Perhutanan Universiti Putra Malaysia (UPM) , Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS), Persatuan Mahasiswa Anak Negeri Selangor (PERMAS), Majlis Perwakilan Penduduk Zon 20 MBSJ dan Pejabat ADUN Sri Serdang.

Program Semarak Siswa MADANI @ K10 YouthCare 2.0 merupakan sebahagian daripada kesinambungan Program K10 YouthCare yang diadakan setiap tahun bermula dari tahun 2022. Tujuan utama program ini adalah memberi peluang dan kesedaran kepada pelajar mengenai kesukarelawanan, khususnya dalam konteks kebersihan alam sekitar.

Program ini terbahagi kepada dua bahagian, di mana Program K10 YouthCare 1.0 menitikberatkan kebersihan pantai, manakala Program K10 YouthCare 2.0 memfokuskan kepada kebersihan alam sekitar di kawasan paya bakau dan kesejahteraan komuniti. Sebagai sebahagian daripada usaha dalam Kempen Penanaman 100 Juta Pokok di bawah Program Penghijauan Malaysia, pelajar turut menyertai penanaman pokok paya bakau.

Program Semarak Siswa MADANI @ K10 YouthCare 2.0 melibatkan aktiviti pembersihan sampah dan penanaman pokok paya bakau di Taman Mangrove Point, Pelabuhan Klang, Selangor, dengan penyertaan 80 orang pelajar Kolej Sepuluh (K10), UPM. Sebanyak 100 anak pokok paya bakau berjaya ditanam semula melalui program ini.

Program ini juga melibatkan Forum: Ecotourism Sustainability, yang disiarkan secara langsung di Youtube Channel K10 UPM, dengan ahli panel dari Jabatan Sains Perhutanan dan Biodiversiti serta pemimpin negara bagi Hari Pembersihan Dunia. Tujuannya adalah untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan melestarikan eko-pelancongan dan menggalakkan penanaman dan pemuliharaan pokok.

Program komuniti yang terbuka kepada semua, Sukan Rakyat, diakhiri dengan Majlis Perasmian Penutupan yang dirasmikan oleh Pengetua Kolej Sepuluh, YBhg. Prof. Ts. Dr. Wan Zuha Wan Hasan. Pelbagai aktiviti sukan menarik disertakan, seperti senamrobik, larian dalam kain sarong, boling kelapa, dan pertandingan mewarna, dengan pemberian hadiah kepada pemenang dan cenderahati kepada wakil penduduk Taman Sri Serdang.

Tarikh Input: 28/11/2023 | Kemaskini: 28/11/2023 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEeMAf~