‘Talent Ten 2022’ | KOLEJ SEPULUH
» BERITA » ‘Talent Ten 2022’

‘Talent Ten 2022’

SERDANG, 18 Disember 2022 — Sekretariat Kebudayaan dan Kesenian (SETA) dan Sekretariat Kerohanian dan Perpaduan (SKP), Kolej Sepuluh (K10) telah menganjurkan program Talent Ten 2022 (TT 2022) pada 10 hingga 18 Disember 2022 (Sabtu — Ahad). Program ini telah berjalan dengan jayanya selama sembilan hari dengan penglibatan yang aktif daripada para peserta dan dihadiri dengan ramai penonton. Seramai 91 orang peserta yang terdiri daripada 37 orang lelaki dan 54 orang perempuan terlibat dalam program ini. Program ini juga turut mendapat sambutan yang hangat dari para penonton dengan dihadiri seramai 619 orang penonton yang terdiri daripada 321 orang lelaki dan 298 orang perempuan.

 

Objektif program ini telah berjaya dicapai di mana ianya bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dalam kalangan pelajar Kolej Sepuluh di samping mencari bakat baharu untuk diketengahkan bagi mewakili kolej dalam pertandingan serta memartabatkan nama Kolej Sepuluh. Antara bakat yang dicari adalah nyanyian, tarian, melukis dan videografi. Di samping itu, aktiviti permainan tradisional yang diadakan boleh meningkatkan lagi semangat perpaduan dale kalangan pelajar tentang permainan tradisional yang terdapat di Malaysia. Program ini dimulakan dengan pertandingan video pendek dan poster perpaduan pada 10 hingga 16 Disember 2022 yang telah menarik penyertaan sebanyak 2 orang bagi pertandingan video pendek dan 7 orang bagi pertandingan poster perpaduan. Selain itu, turut diadakan permainan tradisional pada 17 Disember 2022 yang berlangsung dari jam 2.00 hingga 5.00 petang bertempat di Dewan Sri Budiman, Kolej Sepuluh, Universiti Putra Malaysia (UPM) yang membabitkan penglibatan seramai 58 orang pelajar Kolej Sepuluh. Kehangatan program kian dirasai apabila program diteruskan dengan Talent Ten Night Semi Final pada sesi malam. Para pelajar Kolej Sepuluh berkumpul di Dataran Kolej Sepuluh bagi memeriahkan lagi program ini. Acara pertandingan yang diketengahkan menggabungjalinkan elemen kebudayaan dan kesenian yang menyaksikan tiga kategori seni persembahan iaitu nyanyian, tarian dan instrumen. Para peserta berentap dan menunjukkan kehebatan masing-masing dalam acara pertandingan bagi melayakkan diri ke Talent Ten Night Final. Pertandingan ini juga diadili oleh barisan juri yang pakar dalam bidang masing-masing dan tampil melontarkan komen sebagai pembakar semangat kepada para peserta yang akan melayakkan diri ke pusingan akhir. Majlis ini telah mendapat sambutan yang baik oleh pelajar Kolej Sepuluh yang dihadiri seramai 339 orang. Akhirnya, saat yang dinanti-nantikan telah tiba apabila malam kemuncak Talent Ten Night Final berlangsung pada 18 Disember 2022. Majlis dimulakan dengan perarakan masuk tetamu jemputan dan para juri yang hadir ke majlis. Majlis diteruskan dengan persembahan istimewa daripada nyanyian band oleh Green Bamboos. Kemudian, acara disambung dengan persembahan daripada 7 orang peserta yang berjaya mara ke peringkat akhir yang disaksikan oleh 280 orang penonton bagi menzahirkan sokongan padu kepada para peserta dan masing-masing teruja ingin mengetahui pemenang yang bakal tampil dinobatkan sebagai juara. Program Talent Ten 2022 telah melabuhkan tirainya dengan penyampaian hadiah kepada para pemenang bagi setiap kategori dan secara tidak langsungnya majlis berjaya ditamatkan tepat pada jam 10.30 malam. Pihak penganjur dan Pengurusan Kolej Sepuluh mengucapkan ribuan terima kasih kepada para peserta yang menelusuri diri dalam pertandingan-pertandingan yang dianjurkan. Tidak lupa juga kepada para penonton yang terdiri daripada pelajar Kolej Sepuluh yang turut hadir memberi sorakan gemuruh dan bersama-sama menjayakan program Talent Ten 2022 ini. Diharapkan program ini dapat menjadi sebuah platform dalam melahirkan pelapis penggiat seni dalam kalangan pelajar dan seterusnya membentuk pelajar yang berdaya saing, berkualiti serta berkeyakinan dalam mempersembahkan bakat dan kreativiti masing-masing di samping menghargai nilai kesenian dan kepelbagaian budaya di negara kita

Tarikh Input: 07/03/2023 | Kemaskini: 07/03/2023 | rahiza

PERKONGSIAN MEDIA

KOLEJ SEPULUH
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 4647
03-9769 4647
SXEeKAN~