Kolej Sepuluh, Universiti Putra Malaysia – Pertandingan Tilawah Al-Quran Interkolej PESKON 2025 merupakan sebuah program peringkat universiti yang dianjurkan oleh Sekretariat Kerohanian dan Perpaduan (SKP) sempena Pesta Konvokesyen dan Ekspo Pertanian (PESKON) 2025. Program ini telah berlangsung pada 1 Disember 2025 bertempat di Khemah Utama PESKON, Menara Jam Warisan Budi, Universiti Putra Malaysia (UPM) di bawah pimpinan Pengurus Program, Saudara Muhammad Izzad Abd Latif.
Pertandingan ini melibatkan penyertaan kurang daripada 100 orang peserta yang terdiri daripada wakil pelbagai kolej kediaman di UPM. Program ini berjaya menampilkan tahap penguasaan bacaan Al-Quran yang tinggi serta keindahan seni taranum dalam kalangan peserta. Di samping menjadi platform untuk mencungkil bakat baharu dalam bidang tilawah di peringkat universiti.
Dalam pertandingan tersebut, wakil Kolej Sepuluh, Saudara Muhammad Thaqif Muzammil bin Ahmad Ayoup @ Ayub, telah berjaya meraih tempat ketiga sekaligus mengharumkan nama kolej di peringkat universiti. Pencapaian ini mencerminkan komitmen dan kesungguhan mahasiswa dalam menghayati serta menguasai bacaan Al-Quran.
Penganjuran program ini bertujuan memupuk kecintaan terhadap Al-Quran dalam kalangan warga universiti di samping menyemarakkan pengisian rohani sepanjang PESKON 2025. Diharapkan kejayaan ini dapat menjadi inspirasi kepada mahasiswa UPM untuk terus aktif dalam program berteraskan kerohanian dan pembangunan sahsiah.
Tarikh Input: 13/06/2026 | Kemaskini: 13/06/2026 | ruzaimi

PEJABAT AM
KOLEJ 10
UNIVERSITI PUTRA MALAYSIA
43400 UPM SERDANG
SELANGOR