LAWATAN TASKFORCE KEBAJIKAN UNIVERSITI AWAM KE DAPUR SISWA MADANI @ KOLEJ SEPULUH, UPM
Kolej Sepuluh, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menerima kunjungan Taskforce Kebajikan Universiti Awam yang diketuai oleh Encik Wan Zaharuddin Wan Abdullah @ Wan Abd Rahman, Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, dan Cik Ummi Husna Abdullah, Ketua Seksyen Kesejahteraan Mahasiswa. Kunjungan ke Dapur Siswa MADANI @ Kolej Sepuluh turut disertai oleh Puan Nurhaslinda Karim, Penolong Pendaftar Kanan Kolej Sepuluh, serta staf pengurusan dan Majlis Perwakilan Kolej (MPK) Kolej Sepuluh bagi meninjau tahap kesiapsiagaan dan pelaksanaan inisiatif kebajikan mahasiswa di kolej.
Lawatan ini turut melibatkan semakan terhadap kemudahan dan keperluan pengoperasian dapur yang merangkumi aspek kelengkapan dapur dan memasak, kebersihan, penyimpanan,pengurusan inventori, keselamatan serta aksesibiliti.
Dapur Siswa MADANI @ Kolej Sepuluh telah beroperasi dan sedang dalam proses penyediaan serta penambahbaikan kemudahan sebagai persediaan menyambut kemasukan pelajar baharu bagi sesi akademik 2026/2027, pada September 2026 ini.
Inisiatif Dapur Siswa MADANI turut memberi penekanan kepada usaha memperkukuh kebajikan dan keterjaminan makanan mahasiswa melalui pelaksanaan Menu Kasih Siswa dan Foodbank Siswa. Menu Kasih Siswa menyediakan pilihan hidangan masakan, manakala Foodbank Siswa menyediakan sumbangan makanan dan barangan keperluan asas bagi penggunaan mahasiswa di kolej kediaman.
Pelaksanaan inisiatif mencerminkan komitmen UPM dalam memperkukuh aspek Kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa. Pelaksanaan Dapur Siswa MADANI @ Kolej Sepuluh ini menyediakan ruang kemudahan dan dapat dimanfaatkan secara optimum oleh mahasiswa, serta terus menyokong usaha pihak kolej dan universiti dalam menyediakan persekitaran kampus yang prihatin terhadap kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa.